Friday, December 21, 2012

Tuesday, December 4, 2012


Selamat Berangkat Tok Wa

Dua malam lepas, mendapat panggilan dari mak saudara, memaklumkan nenek saudara (kakak kepada arwah datuk sebelah ayah) telah pergi. Saya sedang memandu dalam hujan lebat. Terkedu sekejap. Agak lama tak bertemu mata. 

Dia seorang yang baik dan penyayang. Dia sangat mengasihi ayah dan saudara-saudara ayah. Dia sangat disenangi kami. Wajahnya selalu jernih di mata kami. Tutur katanya selalu lembut, tenang dan mendamaikan rasa.

Atas segala kebaikannya Ya Allah, Kau permudahkanlah perjalanannya kembali ke kampung halamannya yang Abadi, ke kampung yang hampir dengan-Mu, kasihanilah dia sepertimana dia sangat mengasihi kami. Semoga kepulangannya, kepulangan yang sangat Kau redhai. Amin Ya Allah.

Friday, November 30, 2012

Semakin

Semakin lama, semakin saya mengerti betapa betul kata-kata - tidak mudah untuk kita menggurui orang. Juga sebaliknya, tidak mudah juga untuk kita membenarkan diri kita digurui orang.

Ini bukannya pepatah - tetapi inilah kata-kata yang paling hampir dengan perasaan saya kini.

Tuesday, November 20, 2012

Gaza di Hati Kita

MENULIS UNTUK GAZA. Email ke marslino@yahoo.com. Seleksi mutu yang ketat. Undangan terbuka. Kirim sebuah puisi ke email di atas. Ini projek bantahan/protes para penyair. Tiada royalti. Hanya satu atau dua buku buat penyumbang. Seleksi mutunya ketat. Bukti kiriman tidak semestinya dimuat. Dateline: 25 November 2012. Biodata penyair sekitar lima baris dan foto jika ada dalam jpeg. Juga alamat pos untuk kiriman buku. Judul antologi dicadangkan, KETIKA GAZA. 


**************

Saya memanjangkan emel daripada sahabat baik, penyair Marsli N.O penerbitan puisi tentang keprihatinan kita terhadap Gaza. Kepada sahabat-sahabat penulis yang berminat, bolehlah menghantar puisi tentang Gaza kepada sdr. Marsli seperti alamat emel  di atas. Ini hari Gaza, berilah doa, harapan dan impian untuk mereka. Ini suara kemanusiaan sejagat. Dan mereka pun saudara seagama kita. Ya, ada yang sinis berkata, lebih baik melihat masalah yang dekat dengan kita, seperti orang Melayu yang hidup susah, remaja tak ada kerja, remaja merompak atau merempit dan sebagainya. Tapi ini suara nurani manusiawi kita. Nyatakanlah sokongan dengan cara kita. Kalau tak mahu menulis, kita duduklah diam-diam.

Semoga kerja murni, tanpa dana khas sahabat saya ini dipermudahkan-Nya. Amin.

Tuesday, November 13, 2012

Pengalaman Kecil

Setahun dua ini, saya sering 'meneman' isteri dalam proses permohonan untuk bertukar sekolah. Hingga ke tahap proses rayuan. Setahun dua kali, begitulah setahun dua ini. Ada pengalaman yang mengajar, ada juga yang menyakitkan. Semuanya kami 'telan'. Tahun ini, sekali lagi kami memohon - dan lebih berharap. Dengan kos sara hidup yang meningkat hidup di kawasan yang diiktiraf sebagai bandaraya, saya semakin tidak betah hidup dengan menyewa rumah orang. Sedang rumah sendiri sudah lama siap, sudah hampir tiga tahun saya membayar tanpa duduk. Saya pun sudah semakin jarang singgah ke sana, bimbang mata melihat rumah kami menjadi lusuh dan buruk.

Sekali lagi, gagal - dan sekali lagilah mengunjungi JPN di Shah Alam. Sebelum ini, masalah sedikit ruwet bila guru besar isteri saya tersalah tanda, bersetuju untuk tidak bersetuju permohonan pertukaran. Kerana ia sistem online dan tidak boleh dibetulkan secara manual, sudah tentulah menyusahkan. Terkejar-kejar ke PPD di Subang jaya sebelumnya. Selesai, dan kininya ke Shah Alam pula. Rezeki tahun ini, dapat berjumpa dengan pegawai yang menangani rayuan pertukaran - lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya bila terpaksa tinggalkan surat bila pegawai enggan jumpa - dengan alasan berkursuslah, mesyuaratlah dan macam-macam.  di sini, kami dijelaskan kawasan sekolah yang isteri saya mohon bertukar adalah 'kawasan panas'. Bukan kawasan penagih, kawasan air ketum, kawasan perompak dan sebagainya. 'Kawasan panas' yang dimaksudkan oleh pegawai JPN ini bermaksud kawasan yang ramai guru mohon untuk bertukar. Saya senyum saja. Tak sangka, kawasan hulu pun ramai guru yang minta tukar ke sana. Agaknya sekarang orang lebih suka duduk hulu. Entahlah.

Tapi di sini saya belajar sesuatu. Ada kes yang lebih teruk daripada kami suami isteri. Saya sempat bercakap dengan seorang guru perempuan yang juga membuat rayuan. Ironinya, dia sudah 15 tahun mengajar di KL, dan suaminya di negeri. Sudah 15 tahun dan tidak pernah pun bertukar sekolah. Lima tahun belakangan ini, setahun dua kali katanya, dia ulang-alik ke Shah Alam dan Putrajaya - merayu untuk dipindahkan ke negeri, untuk dapat bersama keluargnya. Matanya sedikit berkaca bila bercakap. Bila mendengar masalah orang, saya rasakan masalah saya hanya umpama sayap kelekatu, tak ada apa-apa. Rupanya masalah orang lebih besar dan rencam. Dan anehnya, bagaimana Kementerian Pelajaran ini menangani kes permohonan (dan rayuan) guru bertukar sekolah. Masalah mana yang ditimbangkan dulu berbanding dengan masalah guru 15 tahun hidup sendirian di Lembah Klang dan suaminya serta keluarga di negeri. Aduh, saya pergi membawa masalah kami, dan pulang membawa masalah kami yang belum selesai, ditambah dengan masalah orang yang sangat saya kasihani.

Semoga langit mendengar rintih dan doa kami. Semoga Allah memudahkan rezeki kami, untuk kami bertukar dengan aman dan lapang dada. Amin.

Monday, November 5, 2012


Biarlah Begini Saja

Berhari-hari juga, selepas mendengar, saya berfikir. Bila seseorang bercakap sastera hanya untuk seronok-seronok, suka-suka, gembira-gembira - sastera for fun kata orang yang educated - tak usahlah berfikir tentang soal estetika atau apa - malah tentang kebertanggungjawaban sastera itu sendiri.

Saya jadi keliru - sebab yang bercakap ini kononnya sarjana - bertaraf profesor. Persis seperti profesor enjin traktor atau mesin padi.Saya tahu saya bersalah untuk memperlekeh ilmu dan kebolehan orang, sementelah bertaraf dan berkedudukan seperti itu. Dan saya pula bukan siapa-siapa dan tak ada apa-apa, justeru apa hal hendak cakap banyak?

Jadi biarlah saya diam saja - seperti selalu. Dan kepada diri sendiri, saya hanya ingin berkata - sastera kita, biarlah begini saja.

Tuesday, October 30, 2012

Laut Tetap Lebih Indah

Sering untuk perbandingan, saya selalu menyebutkan tentang akuarium dan laut. Begitulah. Suatu hari Nisah Haron, datang ke tempat kami. Apa yang saya boleh bantu (baca: bantu Fakulti Penulisan Kreatif), tanya Nisah kepada saya. Saya fikir, pelajar kami tidak perlu diberitahu format bagaimana untuk menulis, bagaimana menunggu ilham, tentang teori-teori, atau bagaimana cara untuk hantar karya.

Kata saya kepada Nisah, pelajar kami (dan bekas pelajar) ramai yang boleh menulis. Bahkan, mereka sedikit pun tidak kurang kalau hendak disamadudukkan dengan Wardah Munirah yang sedang ghairah berkarya sekarang. Tapi, tidak pula ramai yang mahu menjadi seperti Wardah misalannya. Jadi, tolong beritahu pelajar kami, laut lebih indah dari akuarium. Keluarlah, dan mengaranglah.

                                                     *          *            *

~ Sama seperti SM Zakir, Zaen Kasturi, Marsli N.O, Saleeh Rahamad, Shamsudin Othman, SN Muhammad Haji Salleh dan lain-lainnya, Nisah juga agak kerap ke tempat kami berkongsi sesuatu - sama ada hadir dalam acara baca puisi, seminar, siri wacana sastera, atau mengendalikan bengkel penulisan. Mereka ini, tidak pernah datang kepada saya (atau kami) mencabar-cabar supaya diundang untuk berceramah atau berbengkel. Kerana kami juga, pernah terkurung dalam akuarium, sebelum bebas berenang di sungai-sungai; hingga suatu hari kami terlepas ke laut luas dan tidak mahu pulang-pulang lagi ...

Sunday, October 21, 2012


Penyakit Sastera Kita

Dalam banyak-banyak hal, kebiasaannya saya memilih untuk lebih berdiam; daripada bercakap. Apatah lagi kalau bercakap yang bukan-bukan. Kalau pun bodoh, biarlah saya bodoh di dalam diam, daripada bodoh saya diketahui orang akibat salah cakap.

Saya perhatikannya sudah agak lama. Terutama dalam setiap acara, yang saya hadir dan berkebetulan, dia pun ada. Tapi resam saya, dia tak kacau saya, oklah. Buat apa saya nak menyibuk. Jadi saya melihatnya pun dengan diam jugalah.

Satu hari. Dalam sebuah acara sastera. Di tempat saya. Dia datang menghampiri saya, dan bersalam-salam. Sambil mempromosikan buku barunya, dia berkata kepada saya, secara tiba-tiba, "Saya cabar awak untuk jemput saya berceramah dan membimbing bengkel penulisan di aswara."

Belum pun rasa terperanjat saya hilang, sekali lagi dia mengulang, "Saya cabar awak untuk beritahu bos awak jemput saya berceramah dan berbengkel di sini."

Dalam hati saya, orang tua ini kalau saya menjawab lain jadinya nanti. Jadi saya hanya angguk-angguk kepala dan diam saja. Diam, selalu saja menyelamatkan saya daripada bergaduh atau mengata orang tak bertempat.  Dan saya selalu teringat kata kawan kepada saya, sastera kita memang ramai orang sakit.

Tapi, dalam hati saya ingin menjawab begini: Pakcik, memang ada waktunya kami akan mengundang penulis atau siapa sahaja tokoh untuk datang bercakap di tempat kami, untuk berbengkel di tempat kami, memberi ilmu kepada kami dan pelajar kami. Kadang-kadang kami bawa anak didik kami ke luar. Setidak-tidaknya akan membantu pelajar kami mengenali dan memahami dunia luar. Tapi tidak selalu-selalu. Dan, kalau pun kami tidak menjemput si polan- si polan yang tenar untuk berceramah dan berbengkel, sistem pendidikan di tempat kami memang sudah tersedia memberi kuliah dan bengkel sekali gus. Pelajar kami tidak ramai, jadi setiap harilah kami berbengkel. Maka itu, kami lebih saling mengenali, kelemahan dan kekuatan anak didik kami. Bahkan kami lebih saling menghargai. Jadi, kami tak perlulah mengundang si polan-si polan yang suka mendabik-dabik bahawa dia bagus, dan mewajarkan dibawa ke tempat kami. Kami juga tak perlu diajar si polan mana yang bagus atau tidak. Permata, di celah rumput pun akan tetap tampak silaunya, Pakcik.

Saya ingin menjawab begitu - tetapi seperti biasa, saya lebih memilih diam. Kerana saya selalu percaya, dalam apa sekali situasi pun, diam selalu saja menyelamatkan saya ...

Sunday, October 14, 2012

Hal Kecil Saja Ni ...















Dalam Kamus Dewan, lapur bermaksud bergerak-gerak seperti ayam berlaga, bergelupur; melapur pula bermaksud menyerang dengan sayap dan kaki (ayam berlaga dll).

Kalaulah, kalaulah Tun Syed Nasir masih ada …

Monday, October 1, 2012


Sudah Terbit


Tuesday, September 18, 2012


Tentang Embun

Izinkan aku menjadi setetes embun
di bucu rumput
yang membasah lamanmu setiap pagi
moga ketika engkau bangun, dan sesudah subuh
saat kau kuakkan jendela pagimu
engkau tak perlu berseru memanggilku
kerana aku selalu ada
pada tanah dan rumput
pada daunan dan bunga-bunga
aku akan selalu hadir untukmu

engkau juga tidak perlu khuatir
kerana seperti embun, aku jua akan
mengering dan pergi
dari hidupmu
kerana tak ada yang abadi
melebihi yang Abadi.

Kuala Lumpur
Berita Harian, 29 Julai 2012

Monday, September 17, 2012

Tentang 'So' dan 'At Least'

Balik ke kampung tempohari, bapa saudara saya bertanya, "Orang selalu bercakap di tv guna perkataan 'so', 'so' tu, apa maksud 'so' sebenarnya?"

Selepas saya beritahu sambil sengih-sengih apa maksud 'so', beliau bertanya lagi dengan senyum-senyum, "So, kalau kita tak guna perkataan 'so' ni bila bercakap tak bolehkah?"
Saya boleh saja jawab, tapi saya memilih untuk sengih saja.

Saya teringat sewaktu menghadiri majlis meraikan SN Muhammad Haji Salleh mendapat Anugerah Penulisan Asia Tenggara pada tahun 1997 dulu di Sudut Penulis DBP, hal yang sama turut disentuh oleh Muhammad Haji Salleh. Dengan rasa jelik, jengkel, mual dan kecewa, Muhammad antara lain menyindir orang kita sangat suka menggunakan perkataan 'so' dan 'at least' bila bercakap Melayu. 

Hari ini - di dalam dan di luar peti televisyen  - bahasa kita kini lebih dari sekadar 'so' dan 'at least'.

Monday, July 23, 2012

Judul

Puisi - letaklah apa pun sahaja judulnya - ia akan tumbuh, hidup, berkembang, menyusur zaman. Kerana puisi - selamanya akan kekal sebagai puisi. Yang membezakan sesebuah puisi itu, sama ada baik atau sebaliknya. Tentang hal yang kulit-kulitan, biarkan sahaja.
Kerana puisi memang harus dibiarkan begitu - mengikut jalannya sendiri; ia akan kekal selamanya sebagai puisi.

Sunday, July 22, 2012

Peluang

Ruang dan peluang yang baik tidak selalunya datang. Tetapi amat mudah untuk terlepas; dan biasanya peluang yang baik amat payah untuk berulang kembali. Merenung-renung, setahun lalu telah saya lepaskan suatu peluang yang amat baik. Kini, pada tahun ini satu lagi peluang terbaik saya lepaskan. Dengan halangan tentunya. Dan saya percaya ruang dan peluang sebegini sudah tertutup dan tidak akan terbuka lagi.

Tetapi saya segera teringatkan kata teman baik, teman yang ada waktunya boleh bercakap-cakap dan bergurau-gurau sambil minum teh tarik - tidak pergi bukan bermaksud tidak boleh jadi penyair, katanya sambil bergurau.

Sempena kedatangan Ramadhan yang mulia ini, saya ingin mengenang yang baik-baik saja, saya ingin merenung atas apa yang perlu saya renungkan. Jodoh, hidup, mati semua dalam aturan-Nya. Ini masa terbaik menggali hemah dan hikmah kehidupan. Salam Ramadhan al-Mubarak kepada semua teman-teman. Semoga kita sentiasa dalam rahmat-Nya.

Monday, June 25, 2012


PeTA 2012: Satu Catatan Singkat

Terlewat untuk membuat catatan singkat tentang Seminar Akhir Penilaian Tahun Akhir (PeTA) Fakulti Penulisan Kreatif, yang diadakan pada 11-13 Jun yang lalu. Daripada 26 orang pelajar yang seharusnya wajib dinilai dalam projek akhir ini, 24 orang telah berjaya melalui fasa penilaian akhir ini. Ada rasa yang berbaur dalam jiwa bila melihat 'hari akhir' kumpulan ini. Saya melihat setiap sudut, yang mungkin berbeza dengan tenaga pengajar yang lain. Saya tidak melihat projek akhir ini sebagai pengakhiran perjuangan mereka; kerana pada saya usai sahaja PeTA 2012 ini, barulah sebenarnya bermula perjuangan mereka. Saya tidak menilai siapa yang terbaik sepanjang tiga hari kami berkampung melaksanakan seminar akhir ini. Saya hanya menilai mereka hanya selepas ini - bagaimana mereka membawa bakat mereka, bagaimana mereka menggunakan ilmu yang ditimba sepanjang tiga tahun di sini (ada yang selama enam tahun di sini, mengambilkira dari zaman belajar diploma dan kemudiannya menyambung ke peringkat ijazah pertama pula di sini) di luar nanti; di dunia sebenar, di gelanggang penulisan yang sebenar.

Pujian, teguran, nasihat dan pandangan setiap ahli panel yang menilai mereka seharusnya dijadikan satu renungan panjang. Saya percaya, dengan ilmu yang dimiliki, dengan kesungguhan yang tinggi, dengan bakat yang sentiasa digilap, mereka boleh berenang di laut luas. Keluarlah dari akuarium kecil di pinggir Padang Merbok ini, dan berenanglah di laut sebenar - yang menjanjikan lebih cabaran, lebih keterujaan, lebih keseronokan, dan lebih segala kemungkinan. Saya selalu bercakap dunia di kampus kecil kami ini cumalah sebuah akuarium. Di luar sana, ada laut sebenar yang lebih membiru, dan jua menggelombang. Kini, inilah waktu terbaik untuk menikmati dunia laut yang sebenar.

Kepada kumpulan Diploma - Mohamad Shahril Azizi, Nurul Atikah, Rainee Hilda, Radzmi Riko, Farah Azyan Izzati, Nor Syamimi, Noraishah dan Nur Asilah - selamat maju jaya dan doa semoga segala yang terbaik menjadi milik semua anak didik kami. Saya kenang yang baik-baik sepanjang anda semua bersama saya sepanjang tahun 1 dan 2.

Kepada kumpulan Ijazah - Hadawiyah, Che Nor Amirah, Mohamad Uzair, Siti Nurul Naquiah, Noor Suhaida Hidayu, Amirul Annuar, Julia, Nurulain Filzah, Nurul Najwa, Nurul Hidayah, Sarah, Maisarah, Khalila Ilia, Nur Fatiha, dan Siti Khalisah - doa saya juga bersama anda. Keluar, dan berenanglah di laut sebenar. Saya juga hanya ingin mengenang yang baik-baik sahaja sepanjang bersama anda. Ada yang melalui enam tahun bersama saya di sini.

Begitu mudah kami menerima anak didik yang datang; dan begitu payah saat melepaskan ketika telah berakhir waktunya. Semoga semuanya sentiasa dalam rahmat-Nya. Catatan saya berakhir di sini. 

Sebahagian daripada 24 pelajar Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA pada hari PeTA
Kredit foto: Dr. Norhayati Abd. Rahman





Monday, June 18, 2012

Catatan Mengenang 10 Tahun

Sayang,
begini pantas waktu berlari
tak pernah kita ragui
atau sesali
dengan jalan yang terbentang.

Lihatlah cinta kita  masih
ungu dan membiru
putih dan rindu
seperti mula.

Kugenggam cinta yang memutih
sepertimana terasakan
sewaktu jari-jemarimu
pertama kali kugenggam dulu.

Terima kasih
kerana sepanjang melewati 10 tahun ini
engkau tidak jemu-jemu
menjadi cermin dan lampu buatku.

Tanpamu
aku mungkin
tak mengenal wajah sendiri
atau teraba dalam gelap
di mana sudut aku berdiri.

Akulah lelakimu
sepertimana kau kenali dulu
tidak berubah,
dan andai berubah pun
cinta kita masih seperti mula
ungu dan biru
putih dan rindu.

Pasir Puteh - Tanah Rata, Cameron Highland
Jun 2012

Friday, May 18, 2012


Wawancara Lereng

Sempena ulang tahun ke-10 saya berkhidmat di akademi ini, wartawan Buletin Kampus, Beringin Tumbang sudi untuk mewawancara saya. Wawancara ini dilakukan di Lereng Padang Merbok. Berikut sebahagian saja wawancara tersebut, sebahagiannya lagi saya simpan.

Soalan: Errr apa azam sempena 10 tahun ni?

Jawapan: Bekerja macam biasa untuk dapat gaji macam biasa. Bekerja luar biasa untuk rezeki luar biasa.

Soalan: (Sambil garu-garu kepala) Apa pengalaman paling berguna sepanjang berkhidmat?

Jawapan: Bila kita sedar kita ni mungkin tak berguna bagi sesetengah orang. Selain itu, berhadapan dengan manusia tak berguna juga adalah pengalaman paling berguna yang dapat saya perolehi.

Soalan: Gila betul jawapan Enche Wan. Emmm ada boss ucap selamat ulang tahun tak? Ucap selamat maju jaya ke, selamat terus berbakti ke, ajak minum kopi ke?

Jawapan: Saya dah lama tak ada bos kot.

Soalan: (Garu kepala lagi) Sekarang buat apa?

Jawapan: Sedang menikmati hukuman buang daerah 2 tahun. Kamu anggaplah ia sebagai hadiah ke, biasiswa ke, geran ke, apa ke, padahal kamu tak mahu aku dok dalam pejabat dan bikin “kacau” sama kamu. Ceh tak ikhlas.

Soalan: Kenangan manis dan kenangan pahit selama berkhidmat di sini? Errr janganlah Enche Wan cakap ketika makan gula dan peria pula hehehe.

Jawapan: Boleh skip ke soalan lain tak? Ini kalau nak jawab tiga hari pun tak habis. Tapi ringkasnya, banyak. Banyak sangat. Saya lebih belajar menjadi orang sekarang, dan lebih mengenal orang. Biarlah saya mengenang yang manis saja, yang pahit biarlah berdiri di luar kata.

Soalan: (Sambil tepuk-tepuk dahi) Apa impian Enche Wan?

Jawapan: Kalau ada kekuatan dan kekayaan, nak berhenti sebelum bersara. Serius!

Soalan: Kalau Enche Wan bos, apa yang akan dibuat?

Jawapan:  Ni soalan provokasi ke apa ni? Kalau saya bos, perkara utama yang saya akan cuba buat ialah menampal dan menjahit kembali perasaan sesetengah kakitangan yang rosak. Mereka ini menyumbang untuk jabatan kita, mereka ada kebolehan dan kepakaran, lebih utama mereka juga manusia yang ada hati dan perasaan. Daripada sibuk menampal bumbung bangunan yang bocor atau menampal jalan berlubang ada eloknya kita tampal hati mereka. Beri mereka kekuatan dan semangat untuk mereka bekerja. Ini lebih utama, merekalah sumber manusia kita. Jadi layanlah mereka dengan sifat dan rasa kemanusiaan kita. Insaniahlah sikit. Tapi kalau diberi pilihan lebih baik, saya tak mahu jadi bos. Banyak benda yang saya nak kena tampal kesilapan manusia lain. Takan saya nak sapu letak bawah karpet kot?

Soalan: Kalau betul-betul jadi bos, apa yang Enche Wan tak akan buat?

Jawapan: Oh, macam ni punya soalan pun ada ke? Kalau saya jadi bos, antara perkara yang saya tak akan buat ialah dengan menghina staf sendiri, menyuruhnya pergi jual pisang goreng kalau duit gaji tak cukup. Jadi bos, jangan hina anak buah. Takut-takut nanti bila kita pencen atau ditamatkan kontrak, anak buah pakat gantung pisang baru padan muka. Bila dah tak ada jawatan nanti, tak ada siapa nak pandang muka atau bertegur sapa di tepi jalan. Jangan jadi kaldai depan anak buah, ia sangat memalukan.

Soalan: (Sambil menyapu peluh dengan lengan baju) Apa pesanan Enche Wan pada rakan-rakan sekerja?

Jawapan: Inilah soalan paling cerdik saya tunggu. Nasihat saya, ikhlaskan hati bekerja, jaga tempat kerja kita baik-baik. Jangan buat benda-benda tak senonoh di tempat kerja. Tempat kerja bukan sekadar tempat cari makan. Ia lebih dari itu. Ingat rezeki kita langit yang memberi, bukan datang dari tingkat tiga. Biarlah kita jadi orang bawah yang ada harga diri, biar kita selekeh tapi kerja hebat, jangan jadi macam sesetengah PTD pakai hebat tapi kerja berkarat. Batang kayu lagi cerdik dari dia. Saya berharap kita semua menjadi pekerja yang “bekerja bersama-sama saya, bukannya bekerja untuk saya!” Paradigma ini kalau ada kena ubah. Inilah barah yang berlaku dalam dunia kerja. Jangan jadi kaldai orang di tempat kerja. Jadikanlah institusi tempat kita mencari makan, mencari rezeki yang halal untuk anak bini sebagai tempat yang mulia. Pertahankanlah tempat kerja kita seperti Jins Shamsuddin pertahankan Bukit Kepong.

Soalan: Pesanan untuk bos pula?

Jawapan: Jangan suruh staff jual pisang goreng (walau kamu ada kebun pisang yang luas). Ia, sangat melukakan.

Wednesday, May 16, 2012

10 Tahun

Hari ini 16 Mei - genap 10 tahun saya berkhidmat sebagai seorang kakitangan awam amnya; dan di ASWARA khususnya. Terasa cepat waktu berlalu. Banyak perubahan yang berlaku pada diri dan hidup saya sepanjang 10 tahun ini. Saya banyak belajar di sini, dari sejumlah orang yang ada di dalamnya; dari kawan-kawan sekerja dan juga pelajar saya. Terima kasih yang tak terbalas kepada semua.

Saya ingin mengenang yang manis saja; yang pahit biarlah berdiri di luar kata. Saya ingin pantas lupakan perkara yang melukakan, yang telah merosakkan hati dan nawaitu; saya kini ingin lebih melihat kepada diri, daripada berebut melihat 'kerusi'.

Sekarang, saya hanya ingin bekerja, dan berkawan-kawan.
Selamat Hari Guru

Melihat anak-anak sibuk membalut hadiah untuk cikgu masing-masing sempena Hari Guru malam tadi, saya tersenyum. Teringat hampir 30 tahun lalu, dalam limun pagi, saya menjolok buah mempelam ringan dan harum manis di belakang rumah arwah datuk untuk dihadiahkan pada cikgu. Saya tak ada hadiah istimewa, cuma itu saja yang mampu. 

Selamat menyambut Hari Guru kepada semua guru. Semuanya terakam dalam kenang dan doa.

Sunday, May 13, 2012


Pengalaman Menjadi 'Editor'

Saya bersyukur, tidak dilahirkan sebagai editor. Cukup hanya menjadi editor lebih kurang sahaja untuk diri sendiri. Apabila diminta dan diamanahkan untuk menjadi editor menangani penerbitan sesebuah buku, saya serba salah juga. Apatah lagi kalau tulisan-tulisan yang terkumpul itu datang daripada penulis/pengarang besar tanah air. Menolak, bererti menolak tuah, pengalaman dan kepercayaan yang diberi, menerima meletakkan saya dalam keadaan serba salah.

Editor tidaklah sempurna; begitu juga saya. Tetapi saya ada tanggapan sendiri, pandangan sendiri, cara kerja sendiri dan kebolehan sendiri yang perlu saya pergunakan sebaiknya. Maka, bila terbit dalam bentuk buku, ada dua rasa berbaur. Teruja, dan berdebar. Teruja kerana saya juga berperanan buku ini terbit (walau hanya di belakang tabir), berdebar kerana saya menunggu reaksi orang yang membaca; dan juga reaksi si penulisnya sendiri selepas saya 'mengerjakannya'.

Sungguh, saya 'menolak' perasaan si penulisnya ketika menangani naskhah ini. Saya ikut cara saya, sebab saya kan 'editornya'! Bukan senang hendak selaraskan sebuah manuskrip yang terdiri daripada ramai pengarangnya. Memang tak terselaras. Apa yang boleh dibuat, saya buatlah. Asalkan tidak hilang rasa dan perasa penulis asalnya sudah. Pun, saya merasakan saya sudah menangani buku ini dengan cara bermaruah.

Cuma bila siap, saya rasa kasihan. Kasihan pada penulisnya. Ada yang saya edit bukan main lagi, wah konon akukan editor? Ketika ini baru terbit rasa yang berbaur, kasihanlah, tak tergamak buatlah kalau diberi sekali lagi, saya bersalahlah, macam-macam rasa. Saya tak tahu apa respons si penulisnya bila membacanya, mungkin terkujat melihat ada yang hampir separuh saya cencang dan buang, yang pada saya tak bererti apa-apa. Kerana akukan, editor!

Cuma saya teringat, satu masa dulu SN Anwar Ridhwan pernah beritahu saya untuk sesetengah novel Arena Wati, ada yang pernah dipotongnya lebih seratus halaman. Berdasarkan cerita ini, saya kembali yakin dan waras bahawa kerja saya betul. Ini, memberikan saya satu pengalaman berharga, yang tak dapat saya pungut dengan termenung di tepi Padang Merbok saja.

Wednesday, April 4, 2012

Pangkah di Luar Kotak
Tidur tidak nyenyak malam tadi kerana asyik teringatkannya. Sejak mengenali dan menyukainya, saya tak pernah berpaling lagi. Sekurang-kurangnya seminggu sekali kami berhubungan. Isteri saya tahu tentang hubungan kami, dan ini menjadikan hubungan kami tidak menjadi hubungan sulit. Isteri saya tak pernah menghalang, cuma sesekali dia mengeluh tentang kewajaran saya meneruskan hubungan ini, katanya yang dia tak nampak sebarang kebaikan. Tapi saya yang sangat nampak kebaikan cepat-cepat menerangkan kepada isteri tentang kewajaran ini. Lantas, hubungan saya dengannya pun terus berlangsung hingga sekarang. Keluarga sebelah saya pun tahu, sebelah mentua saya pun tahu.

Ramai orang termasuk kawan-kawan baik yang sinis kepada saya bila melihat hubungan kami. Yang mereka tak tahu, saya juga sinis kepada mereka kerana 'jaki' kepada saya. Kata mereka, saya tak layak berdamping dengannya kerana darjat kami yang berbeza. Saya hanyalah orang biasa, sedangkan dia tercipta untuk golongan bangsawan. Saya tak layak untuknya, kata mereka. Dan lagi kata mereka, dengan gaji yang sudah dipotong oleh tempat kerja beberapa bulan ini sudah menjadikan saya jatuh terduduk dan senyum dalam tangisan, mana mungkin lagi saya meneruskan hubungan aneh ini. Ya, memang saya terlalu memanjakannya dengan bermewah-mewah. Duit tabung semakin lama semakin nipis. Tak hidup zuhud kalau bermewah-mewah, itu saya tahu. Tapi saya sayangkannya, dan saya sayangkan hubungan kami.

Dan hari ini dia membuatkan saya serba salah. Dengan perangainya yang terus suka menyakiti saya dan melukakan hati saya. Tapi saya tahu dia memang baik untuk saya, walau sering melukakan. Hari ini saya dalam dilema. Ingin mendengar kata hati, atau ingin sedar diri.

Ron97, saya tetap sukakan awak walau sudah berkali-kali awak lukakan saya, dan awak bocorkan poket seluar saya. Hari ini awak naik lagi sekupang. Cuma satu yang saya nak awak tahu. Awak tetap terbaik, walau awak makin jual mahal!

Tuesday, April 3, 2012

Penulis dan Karya

Karya yang bagus, yang tahan diuji zaman akan mengangkat dengan sendirinya pengarang itu. Saya tak tahu dari mana saya kutip kata-kata ini; atau saya sendiri yang reka? Entah, tak ingat. Justeru, tak payah sangatlah kita bising-bising angkat bakul dan masukkan karya sendiri dalam bakul. Bunyinya macam saya primitif, ketinggalan zaman dan tidak mahu ikut ledakan gelombang masa kini.

Memang, saya akui masa kini pengarang perlu menonjolkan diri sendiri, seiring dengan kelahiran karya. Zaman pengarang menulis dan tidak dikenali sudah ‘berlalu’. Betul! Tapi berpada-padalah. Tidak payahlah kita terlampau lebih mempromosikan diri sendiri, dan dalam waktu yang sama kita memuji-muji sendiri karya kita bagus. Dan (kalau ada), tidak payahlah kita mengulang-ulang dan membilang-bilang berapa banyak karya kita yang sering menang hadiah. Cemburu? Tak, saya tak cemburu. Kalau saya nak cemburu, saya jadi artis. Lebih gemerlap, lebih kaya, dan lebih kontroversi tentunya. Koman-koman saya dapat dapat berlakon dengan Nora Danish dan jadi laki-bini.

Saya tetap berpendirian, karya yang baik dengan sendirinya akan mengangkat diri dan jiwa pengarangnya. Kalau karya tak baik, tak angkatlah peribadi pengarangnya. Kerja penulis, menulis. Dan ini sering saya ulang-ulang cakap di Padang Merbok.

Kata Herman Hesse (terima kasih Zaen yang memperkenalkan ungkapan pengarang ini kepada saya 16 tahun lalu), “kalau anda menjadi penulis semata-mata mahu popular, anda telah tersalah bidang. Anda seharusnya memasuki dunia pop!”

Dan saya cepat-cepat teringat T. Alias Taib dalam bukunya, Tuan Ibarat Songket Berkilau, menuliskan: “pengarang besar mengarang dengan tujuan, yang kecil mengarang memenuhi impian.”