Tuesday, November 30, 2010

pelancong kata-kata
dan lelaki penyusun kata-kata aneh

Foto: Pelancong di Kuching, Sarawak

kami masuk ke satu dewan
sebahagian besarnya melayu
beberapa keratnya cina dan india
tapi mereka berwajah malaysia
tiada berwajah pelancong tersesat

dia di atas pentas, melayu
kami di bawah pentas
melayu, cina dan india
dari tempurung gelap bernama malaysia

kerana cita-cita tinggi
dan keinginannya menggunung
maka dari atas pentas
dia berucap bukan dari lidah melayunya
kata-katanya penuh serbuk karat dari los angeles
corak fikirnya penuh ranting patah dari london
kelaku dan tindaknya penuh keladak dari geneva

oh, tiba-tiba aku menjadi penyayu
pada tanah air dan bangsa
rintihku bergumam dan tidak mampu didengar
oleh lelaki penyusun kata-kata aneh di pentas
kerana dia sedang rakus berbahasa

bahasanya aneh dan tersangat ngeri
tidak kutemui madah dari kantung nilam nendanya
yang sangat pujangga dan pendeta
dia hilang rasa bijaksananya lidah bangsa
patah aksara barangkali dilenturkan hemah angin barat

fikiranku menjauh
seperti sedang kembara dan melancong
ke negeri asing dalam keliru
aku tersesat dan hilang peta jalan pulang
ke negeri ibunda

lama aku tersesat dan menyusur jauh
sepanjang dia mengatur kata
dengan lenggok melayu inggerisnya
dan alun rentak inggeris melayunya

ketika melangkah pulang, aku tidak ingin
lagi mengeluh; bangsaku sudah
tidak punya apa-apa.

3 Februari 2010, KL

Sumber siaran: Berita Minggu, 28 November 2010

Sunday, November 28, 2010

Belajar Menjadi Rama-rama dan Merpati



nah, perlahan-lahan kulepaskan
harimau dalam diri
pergi ke rimba jauh

perlahan-lahan jua
kutukar warna diriku
menjadi rama-rama cantik
di kelopak bunga
kutukar corak peribadiku
menjadi merpati di laman

tak perlu engkau gusar atau bertanya
mengapa aku melepaskan harimau
lalu memilih menjadi rama-rama atau merpati

aku hanya ingin bersendiri
dalam diam dan tenteram
dalam tenang dan pesona
kerana aku makin mengerti
hidup ini cuma sementara

belajar menjadi rama-rama atau merpati
aku lebih mengerti
alangkah singkatnya hidup

18 Februari 2010,
Kuala Lumpur

Sumber Siaran: PENTAS, April - Jun 2010

Monday, November 22, 2010

Minggu yang Panjang

15-16 November
Dua hari paling padat, menyesakkan dan menyenakkan. Penilaian Fakulti Penulisan oleh MQA sebelum diberi pengiktirafan. Segala dokumen diselak mereka, semua tempat dilawati mereka, masuk ziarah ke dalam kelas, berjumpa dan ‘bercakap-cakap’ dengan beberapa kelompok pelajar, berjumpa kami secara berkumpulan; kemudiannya langsung ‘menemuduga’ kami tenaga akademik di Penulisan secara individu. Saya gilir yang ketiga – sempat mengangkat kening kepada teman sekerja yang pertama keluar dari bilik MQA; sepatah ayatnya, ‘maut punya soalan.’ Gilir saya sampai, sekitar 15-20 minit di dalam; entah saya tak ingat tentang masa.

Petang 16 November, sesi rumusan bersama panel bertiga dari MQA. Saya ingat kata mereka – kami datang cuma nak menolong. Hmm banyak kerja rumah yang perlu kami siapkan. Ada suara setan singgah sekejap dalam hati – dunia akademia ini sepatutnya bukan ‘rumah’ saya. Ha ha. Sekarang ‘rumah’ akademia ini telah menyerkup saya. Apa lagi yang boleh saya lakukan selain daripada terus mencantikkan ‘rumah’ ini, kan? Pulang, teringat kata panel MQA - kami di Penulisan ada satu keistimewaan tersendiri. Apa yang istimewa, itu biarlah rahsia kami, kata orang MQA bergurau, cari sendiri kekuatan anda.

17-21 November
Berbekalkan keluh isteri yang tak pernah seumur hidupnya beraya puasa dan haji di bandar, kami batalkan hasrat tidak mahu pulang. Pulang jugalah kami malam-malam, dalam penat dan sesak; dengan kepala pun belum boleh lupa tentang MQA. Saya fikir usia dan tenaga yang tanpa rehat mencukupi sudah tidak memungkinkan saya untuk ‘marathon’ seperti dulu. Pukul satu pagi di Kampung Relong, Lipis berhenti tidur sekitar 30 minit di tepi jalan. Kemudian menyambung tidur sekitar 20 minit lagi di simpang jalan menuju Lata Rek, sebelum Kuala Krai. Kemudian terjaga (tak boleh tidur sebenarnya), lalu terus memandu. Di Gong Datok, Gaal kira-kira 1km sebelum sampai ke rumah mentua, saya terkejut bila mendengar suara isteri menempik. Kereta saya terbabas dan hampir masuk parit. Saya ‘tertidur’ sekejap saja waktu memandu. Alhamdulillah, syukur tak ada apa-apa.

Semalam, 21 November mengharung perjalanan panjang juga sebelum selamat sampai ke KL. Hampir 10 jam. Dari Pasir Puteh ke Kuala Krai pun sudah dua jam. Paling saya benci dari Tol Bentong menghala ke KL. Benci sungguh. Benci-benci pun, dah berapa kali (ratus? Ribu?) saya ulang alik ke sana melalui jalan yang sama juga. Cuma kali ini saya betul-betul mengelak pulang mengikut susur Terengganu. Letihnya sama juga.

22 November
Hujan mengiring perjalanan saya ke pejabat tanpa hati – hati saya bersama isteri – yang ke PPD Shah Alam pagi ini untuk urusan rayuan permohonan bertukar sekolah. Di pejabat, selonggok daripada sebahagian tugasan pelajar sudah berlonggok atas meja, separuh lagi belum dapat. Empat mata kuliah bagi orang selekeh macam saya ini memang suatu beban berat. Pensyarah universiti yang ada sarjana pun tak mengajar empat subjek sesemester. Kerja gila. Betul-betul terduduk semester ini.

Kadang-kadang terfikir betulkah ini pilihan? Atau ini cuma suatu kemujuran? Bolehkah patah balik, menjadi pegawai biasa saja seperti dulu – yang boleh sedikit bersenang dan kurang susah hati. Oh, tak boleh sebab sudah opsyen. Tapi saya tengok ada orang yang sudah opsyen pun sudah ada yang dicampak dan ditendang keluar depan-depan mata. Kasihan dan simpati dari jauh. Ini masa orang, masa kita belum tentu duduknya. Mohon Allah mudahkan semua urusan.

Menyesal? Tak adalah – bersyukur sebenarnya. Cuma, ada dalam masa-masa tertentu rasa sangat terdesak dan terbeban. Saya perlu cepat-cepat untuk kembali membiasakan diri dengan rutin dan tuntutan dunia akademik.

Entri ini untuk kawan-kawan baik – yang sering mengambil berat, bertanya dan mengingatkan saya yang blog saya ini sudah jarang saya kemas kini...

Monday, November 8, 2010


Bah di Utara

Khabarnya, kali ini lebih buruk dari tahun 2005. Bekalan air di sesetengah tempat masih terputus termasuklah di Pokok Sena. Sempat bercakap dengan ayah bertanya khabar. Bah besar, kata ayah, walau pun kampung saya tidak kena. Saudara-saudara saya sekitar Pokok Sena dan Pendang sedang meranduk air ketika ini.

Banjir besar ini ada hikmah dari-Nya. Berhentilah untuk saling menyalahkan; dan berjujurlah dengan diri bila menolong. Tak guna bertingkah, jernihkanlah hati nurani. Saya sedih bercampur geram dengan kenyataan Shahrizat, "perempuan yang tak ada kerusi" dan juga kenyataan Muhyiddin yang cuba menangguk di air bah. Tolonglah, tolonglah berhenti merepek ketika cuba memberi pertolongan. Oh, saya ingin memuji Menteri Besar Perak atas bantuan dan jasa baik Kerajaan Negeri Perak. Saya juga ingin memuji Mahfuz, yang jawapannya walaupun tak ada "luar biasanya" tapi cukuplah untuk mematikan hujah orang biul macam Shahrizat misalnya. Politik akan kekal sebagai politik, tapi jauh di hadapannya, kemanusiaan mengatasi segalanya.

Ini gambar di sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Omar, Jalan Sultanah, Alor Setar - sekolah tempat saya belajar dulu, 1993-1994. Saya cilok gambar daripada facebook teman-teman; sebab saya belum sempat pulang. Teringin juga nak menatap gambar sekitar Sekolah Kebangsaan "Titi" Haji Idris - kawasan kampung sekitar sekolah kebangsaan sering dinaiki air pada musim hujan, ketika zaman kanak-kanak saya dulu. Dua malam lepas di Rumah PENA sempat bertanya khabar dengan Hanafi Ibrahim, rumah mentuanya tidak jauh dari sekolah saya. Katanya, air belum sampai ke rumah, tapi mentuanya sedang "bersedia." Tak ada pula kawan-kawan sekitar situ yang masukkan gambar. Selalu terbayang orang-orang kampung memasang pukat dalam rumah, melihat orang kampung berdayung sampan di tengah sawah yang melaut.



Monday, November 1, 2010

Tradisi Berendoi di Tempat Saya

Kali terakhir saya duduk berlingkung berendoi ialah kira-kira 15 tahun lalu; sebelum saya keluar dari serkup kampung dan berhijrah ke kota. Waktu itu masih peringkat belajar lagi, dan tak banyak lagu yang saya hafal pada waktu itu. Ketika itu, persatuan belia di tempat saya mengambil inisiatif melatih anak-anak muda kampung bagi yang minat berendoi. Jurulatihnya Pak Lang Razak (anak-anak muda panggil Abang Razak); saya kena panggil Pak Lang sebab jatuh pangkat pak sedara, dia kahwin dengan sepupu ayah, sama sekampung.

Saya hanya suka mendengar orang berendoi, jadi ralit. Minat untuk turut serta ketika awal remaja. Setiap malam, setelah membereskan semua kerja sekolah, saya akan kayuh basikal ke rumah Pak Long Mat Leha, “sarang” tempat kami berdikir saban malam. Kadang-kadang ketika sedang mengulangkaji, sayup-sayup terdengar alunan kawan-kawan, membikin hati tidak keruan. Cepat-cepat senteng kain dan terus kayuh basikal. Saya selalunya paling awal pukul 10 malam baru akan bersila bersama-sama teman sekampung. Kalau cuti Jumaat dan Sabtu baru boleh saya ikut dari awal. Pengalaman pertama berendoi secara terbuka terasa manis hingga sekarang. “Part” yang paling suka semasa berendoi ialah bila tiba pada bahagian nada tinggi, boleh merah muka dan cekang urat leher. Waktu itulah kami saling bergurau dengan mencuit sesama kawan.

Agak malang, seiring saya berhijrah menyambung pelajaran dan kemudiannya terus menetap di KL, dan teman-teman lain membawa haluan sendiri – berkahwin atau bekerja di luar kampung, kumpulan “pelapis” ini pun hilang. Dan tidak lama selepas itu, persatuan belia di tempat saya terus terkubur hingga kini. Sampai sekarang, Pak Lang Razak dan teman-temannya yang berusia yang masih gigih mempertahankan tradisi berendoi dan marhabban di kampung kami. Dan lidah saya terus keras dan hilang nada mengalunkan rentak berendoi. Malah, lebih sedih lagu-lagu yang dihafal juga mula menghilang daripada kepala perlahan-lahan. “Takdir” mengatur perjalanan begini – kalau saya masih di kampung tentu saya masih akrab dengan tradisi ini dan akan terus berdikir sampai sekarang.

Saya percaya apabila generasi Pak Lang Razak ini sudah tiada, maka berendoi dan marhabban akan pupus di tempat kami. Sesekali bila bila balik, dan sesekali ketika balik kebetulan ada berendoi, saya akan duduk bersila ralit mendengar alunan lagu-lagu berendoi. Dan kebetulan tahun ini ayah saya menyambut kehadiran tiga orang cucu baru daripada anak adik-adik saya, maka berendoi ini dilangsungkan di rumah saya. Sesekali terasa malu bila Pak Lang Razak mengusik minta saya duduk berlingkung sekali bersama mereka. Malu, saya hilang seluruh skil berdikir. Yang hanya saya boleh buat bagi meneman mereka hanyalah menghinggut-hinggut bahu seperti turut berdikir.

Ini sajalah yang masih ada di tempat saya, dan akan hampir menjadi tidak ada selepas ini – mungkin lima, atau sepuluh tahun lagi. Seperti dulunya tempat kami telah kehilangan tradisi wayang kulit Katen Sri Nawa...

Pak Lang Razak

Pak Teh Mezah, adik Pak Lang Razak

bila berendoi mesti ada jag air dan tepak sirih, sambil dikir minum-minum sambil kacip pinang

endoi yang dihias dengan bunga-bunga

dalam endoi ada anak buah

yang ini jegil mata dari mula berendoi sampai habis

hah yang ini tidur