Friday, October 30, 2009

Balada Orang Kerdil

Sejak disahkan ada darah tinggi, saya cuba melayan hidup saya seadanya, termasuklah cuba bersikap tenang, diam dan sedikit ‘memencilkan’ diri. Tidak ripuh, apatah lagi saya sedikit senang kerana sikap berdiam ini banyak menjauhkan saya dengan sikap ‘latah’, ‘racau’ dan ‘pekik’ tidak bertempat. Saya terasa kesan dua tiga bulan ini saya sangat tenang. Kerja tenang, masuk kelas tenang melawak – walau adakala perilaku sesetengah pelajar boleh menambahkan ketinggian darah saya. Tapi semuanya terkawal. Tenang, dan damai membawa saya ke ruang jernih.

Hanya sayang, rasa jernih saya hanya mampu bertahan hingga semalam sahaja. Dan mulut saya kembali menjadi ‘ringan’ hingga tiba-tiba saya terasa darah kembali memanjat kepala. Puncanya? Kerana kita sering dianggap mudah, murah dan tidak ada harga. Menjadi penyair ini begitu mudah di mata orang.

Ada satu acara besar untuk meraikan kawan-kawan yang terbaik dan cemerlang. Ketika dua tiga jam sebelum acara bermula, saya dipohon untuk menulis sebuah puisi yang bertemakan satu gagasan besar yang riuh mutakhir kini – riuh kerana sampaikan salam yang mulia pun sudah menjadi salam gagasan. Dan akan dideklamasikan oleh pelajar berbilang bangsa bagi menunjukkan kehebatan kesatupaduan kita.

Lantaklah. Saya tidak peduli dengan apa pun gagasan. Cuma saya sangat marah dan kecil hati. Saya sudah nyatakan dulu pendirian saya sebagai seorang penyair kecil. Saya juga tidak gemar dengan puisi tempahan, apatah lagi tempahan di saat akhir dan kemudiannya seperti ‘mengerah’ untuk saya menyudahkannya. Saya katakan kepada mereka, menulis puisi bukan seperti beratur untuk membeli tiket wayang.

Orang selalu menganggap menulis puisi adalah satu kerja mudah dan main-main. Maka kerana itulah barangkali permintaan pun dibuat seperti main-main lakunya. Oh, sungguh saya terhiris. Saya kecil saja di sini, orang tak tahu pun apa saya buat, orang tak tahu pun saya menulis puisi. Maka bila ada acara bermusim dan berkepentingan, maka ‘nama’ saya pun sangat diperlukan untuk melengkap rasa.

Saya naik seketika ke tempat acara sebelum majlis bermula dan ketika tetamu mula mencari tempat duduk. Tiba-tiba saya terasa kerdil dan terasa betapa diri tidak diperlukan pun untuk hadir ke situ. Maka, dalam diam saya pun menyusup keluar dari majlis dan kembali berkurung di kamar kerja sahaja. Maaflah kawan-kawan ya, kerana tidak menumpang langsung rasa gembira di atas kecemerlangan kalian. Tak perlulah saya bermuka-muka dalam majlis dengan rasa bebal.

Begitulah. Mudah, murah dan tidak ada harga menjadi penyair. Kalau begitulah caranya untuk menghargai bakat saya, selepas ‘abang’ saya, hari ini saya isytiharkan untuk juga berhenti menjadi penyair!

Thursday, October 29, 2009

Warawiri di Rumah Kami

Fakulti Penulisan ASWARA akan mengadakan "Siri Pesona Seni" mengikut makluman berikut:

Tarikh : 3 November 2009 (Selasa)
Masa : 4:00 petang
Tempat : Dewan Orkestra ASWARA, 464 Jalan Tun Ismail, KL
Tokoh Undangan : Dr. Rahmat Haroun Hashim

Semua peminat sastera, pengkaji, penelaah, pensyarah, guru, dan pelajar-pelajar yang berminat dijemput hadir. Tiada bayaran dikenakan.

Monday, October 26, 2009

Bunga Gerimis

Antologi Bunga Gerimis yang diselenggarakan oleh Kamaruzzaman A. Kadir (yang kemudiannya menjadi pensyarah saya 1997-2000) ini tidaklah terlalu lama cetakannya. Cetakan pertamanya 1986, oleh Fajar Bakti.

Bunga Gerimis ini menjadi salah satu teks sastera saya peringkat SPM tahun 1992, selain dari antologi cerpen Hari Kemerdekaan terbitan Marwilis Publisher yang diselenggarakan oleh Ramli Isin dan Sahlan Mohd Saman (Ramli kemudiannnya turut menjadi pensyarah saya).

Saya ingat lagi ketika meminjam skim buku teks sekolah, saya terima buku Bunga Gerimis yang putih bersih – dan kemudiannya saya pulangkan buku itu kepada sekolah dalam keadaan separuh “lembik” setelah saya kerjakan sesungguh hati. Antara puisi yang menjadi santapan saya dalam Bunga Gerimis itu ialah puisi Negeri Tercantik oleh Nahmar Jamil, Ke Pelabuhan Jauh oleh A. Wahab Ali, Jelita Malam oleh Dharmawijaya, Sesetia Malam Pada Siang oleh Siti Zaleha M. Hashim, Merpati Putih Jelajahilah Dunia Ini oleh Usman Awang dan banyak lagi. Saya percaya Bunga Gerimis ini juga sedikit sebanyak membantu menumbuhkan sayap kepenyairan saya kemudiannya.

Selepas SPM, saya pulangkan kembali teks ini kepada pihak sekolah – dan kemudiannya saya tidak pernah temui di mana-mana Bunga Gerimis ini - hal ini turut "dibantu" dengan penutupan Fajar Bakti tidak lama kemudian.

Tahun lalu, ketika warawiri di sebuah kedai buku di Taman Ismail Marzuki, Jakarta, saya temui kembali Bunga Gerimis ini di sebuah rak dalam keadaan berdebu. Tanpa fikir panjang (sebenarnya malu-malu juga), saya beli Bunga Gerimis milik bangsa saya ini di tanah orang. Rasa puas dan gembira kerana buku yang pernah saya gulati hampir-hampir dua dekad lalu kini sudah kembali berada dalam dakapan.

Thursday, October 22, 2009

Puisi Adalah Peta Perjalanan Hidupnya
Allahyarham T. Alias Taib adalah antara penyair yang saya kagumi sosok puisinya. Kekayaan metafora asli yang dimilikinya sangat mengagumkan saya pada sejumlah karyanya. Saya mempunyai hampir lengkap kumpulan puisi persendiriannya; kecuali kumpulan pertamanya – Laut Tak Biru Di Seberang Takir.

Petang Condong adalah kumpulan puisinya yang paling saya gemari. Bahkan Petang Condong ini mempunyai pertautan panjang dalam dunia kreatif dan dunia akademia saya. Kajian penulisan ilmiah saya pada tahun akhir di universiti, saya menyorot Petang Condong inilah. Melaluinya, saya temui satu ruang untuk berkenalan dan akrab dengan penyairnya. Saya masih ingat, saya naik LRT turun di Setiawangsa. Di situ, dia telah sedia menunggu saya. Dengan kereta Datsunnya, saya akhirnya sampai juga ke rumah arwah di Lembah Keramat. Semuanya kerana Petang Condong. Dari situlah saya lebih menggali sosok peribadinya. Banyak juga perkara mengenai arwah yang tidak diketahui umum, tinggal menjadi sejarah dalam memori saya kekal kini.

Pun, saya tetap mimpikan Laut Tak Biru Di Seberang Takir. Setiap tahun ketika saya mengulang baca semua kumpulan puisinya (saya menjadikan setahun sekali sebagai “acara” wajib untuk kembali menelaah bukunya), Laut Tak Biru Di Seberang Takir ini sering berderau dalam sukma, sering beroleng bermain di mata. Entah bila mampu memilikinya. Buku yang tercetak dalam bentuk stensilan tahun 1972 itu tidak saya temui di mana-mana lagi. Saya sanggup beli jika ada sesiapa yang memiliki naskhah asalnya dalam bentuk stensilan itu.

Hanya sebulan dua yang lalu, seorang karib yang sangat memahami minat saya terhadap puisi arwah, telah menghadiahkan saya Laut Tak Biru Di Seberang Takir dalam bentuk fotokopi. Entah di mana karib ini temui fotokopi stensilan ini. Sangat saya hargainya. Lima tahun sesudah Pak Ungku pergi (meninggal 17 Ogos 2004), barulah saya dapat melengkapkan koleksi saya dan menatap Laut Tak Biru di Seberang Takirnya walaupun hanya dalam bentuk salinan fotokopi. Saya dapat menilai sosok asalnya bagaimana. Terasa puas.

Saya pegang kajian ilmiah saya pada tahun akhir 10 tahun lalu. Saya mendapat gred ‘A’ untuk latihan ilmiah itu. Kini seperti tiada makna lagi. Saya ingin menghumbannya sahaja ke laut hitam.

Wednesday, October 21, 2009

Anugerah Sastera Negara ke-10



Sekalung tahniah sekali lagi buat Dato' Dr. Anwar Ridhwan yang secara rasminya dimahsyurkan sebagai Sasterawan Negara ke-10 malam tadi. Walaupun tempat berlangsungnya acara kononnya eksklusif dan mewah (tapi tidak ada signifikan untuk anugerah sebesar ini), namun ucapan pidato penerimaan oleh beliau sangat bermakna, mendalam dan menyentuh kalbu. Tahniah Dato'.

Oh! sewaktu duduk di meja saya juga terpegun dengan yang ini - menu yang menawan dan menggiurkan.


Hanya sayang, dalam majlis yang gilang-gemilang ini, saya tidak kenal siapa pemidato umum yang berpidato bagi memperkenalkan tokoh besar ini. Betul-betul tidak kenal. Kesian saya!


Sunday, October 18, 2009

Bolasepak Ukhuwwah VS Bolasepak Politaik

gambar ni 5 tahun dulu, ukhuwwah antara staf ASWARA (masa tu ASK lagi) dengan team pelajar - seronok, kami kena belasah, :)


yang berdiri 4 dari kiri, pendek-gempal macam Maradona - sebab dia dilahirkan sebagai defender tulen, dia punyai ciri-ciri pemusnah kaki lawan, hak hak

lagi cerita mengenai 4 berdiri dari kiri - sebab dia bosan dengan striker, dia tinggalkan tugas selaku last man, dan membuat overlapping; kami kalah 4-1 dengan gol tunggal kami oleh lelaki pemusnah kaki lawan itu

Sejak kalah dengan pelajar lima tahun dulu, entah kerana takut, entah kerana malu, atau entah kerana apa, kami tidak pernah lagi mengadakan perlawanan bolasepak ukhuwwah antara staf dengan pelajar. Dan sejak itu, wira yang berdiri empat dari kiri itu, menggosok-gosok butnya sampai berkilat, lalu disimpan dalam kotak. Sejak itu, lelaki hebat empat berdiri dari kiri itu langsung tidak pernah menyepak bola hinggalah sekarang, lalu sekadar menjadi penonton dan penjerit saja dari tepi padang.

Konon, alasan dia menggantung butnya kerana bosan dengan bola sekarang yang penuh dengan taik!

oh ya, jersi birunya no. 9!

Nota: entri ini adalah lanjutan daripada entri sebelumnya - yang lahir kerana frust negeri tercinta bolasepaknya bergolek macam buah nangka jatuh kerana penyepak bola selalunya lebih kuat menyepak bola dari luar gelanggang

Nota lagi: yang duduk berbaju kuning itu sahabat saya Mat Jan yang bertindak selaku coach/manager sementara kami; selepas perlawanan tanpa desakan dari kami dia juga meletak jawatan seperti Azraai sebagai memikul tanggungjawab kekalahan ini - selepas Tuanku Sultan Kedah, kami orang Kedah mengiktiraf Mat Jan sebagai peminat no. 2 bolasepak Kedah, :-)

Friday, October 16, 2009

Good Luck, Azraai Khor!

Enam tahun tuan membuatkan bolasepak Kedah gembira. Kegagalan tahun ini sedikitpun tidak mengecewakan kami. Terima kasih atas kenangan manis yang tuan berikan kepada kami. Pengunduran tuan selepas ini sedikit mengecewakan kami. Kami akan merindui sentuhan ajaibmu.

Semua orang tahu apa yang tuan lakukan sepanjang enam tahun itu. Terima kasih kerana meninggalkan satu kenangan manis yang panjang. Kami akan merindui kemeja merah jambu yang sering tuan pakai setiap kali perlawanan berlangsung.

Semoga lebih gemilang bersama Harimau Muda, pilihan pasukan yang paling tepat – jika mengukur kepada minat dan kecenderungan tuan yang sangat percayakan kepada bakat-bakat muda. Moga-moga ada bakat baru yang akan menyinar hasil sentuhan tuan nanti.

Tuan Azraai, saya hanya seorang peminat kampung. Saya tidak ada jersi bola Liverpool, atau Manchester United, atau Real Madrid, atau Barcelona, atau Arsenal yang original; harganya beratus-ratus. Tapi biarlah saya ceritakan rahsia saya kepada tuan – saya hanya ada jersi kebanggaan negeri saya sahaja, tanah Hijau Kuning yang original; harganya juga ratusan ringgit.

Terima kasih kerana sangat percayakan anak-anak muda kampungan membangunkan hayat bolasepak Kedah. Biar Jasa Jadi Kenangan, sama seperti moto pasukan. Kecundang tidaklah sangat mengecewakan (lantaran ada sifat kalah-menang), tapi pengunduranmu sangat menyakitkan buat kami. UMNO atau Pas sama saja. Tidak reti bahawa dalam padang bolasepak tidak perlu ada politik. Poorah hangpa!

Selamat jalan, Azraai! Good luck dan semoga lebih menyinar di tempat baru.


Tuesday, October 13, 2009

Aku, Anakku dan YB Pamanku

SUATU hari, aku menghadiri majlis keraian pamanku, di sebelah ayah. Dia bukan calang-calang orang. Dia seorang YB. Sudah berpenggal-penggal. Usianya sedikit muda daripada usia bapaku. Hanya sayang, kerana cara berfikir tidak sealiran, dia menjadi tidak ambil pusing dengan bapaku dan seluruh ahli keluargaku. Hanya aku yang sering sahaja mengalah – lantaran tidak mahu memanjangkan sengketa dan memutuskan silaturrahmi antara kami.

Biarlah aku saja bermuka tembok, asalkan hubungan antara kami masih ada talian hayatnya. Cuma, sejak pamanku bergelar ahli politik (dan juga punyai jawatan penting), aku berhubung dengannya dengan cara dan adab yang penuh susila dan protokol. Bayangkan hampir 20 tahun aku tidak memanggilnya dengan gelaran paman. Ringkasnya, aku memanggilnya dengan gelaran yang dimilikinya. Ringkasnya lagi – dengan merendah, aku menyapanya dengan panggilan YB Pamanku. Dia nampaknya tidak kekok (malah seperti suka) aku menyapanya dengan begitu. Dengan sendirinya, gelaran paman sudah melurut dan ghaib.

Terlalu lama aku rindukan panggilan paman yang dulu – yang kami kenali 20 tahun lalu; sebelum dia bukan siapa-siapa. Tapi malangnya juga, aku bukan siapa-siapa – yang berhak memanggil semula ingatan lalu itu. Aku hanya seorang guru cabuk biasa yang barangkali langsung tidak punya harga di mata pamanku. Oh maksudku YB Pamanku sekarang. Cuma, aku ini terlalu sayangkan ikatan kekeluargaan. Makanya, aku menjadi anak bapa yang sering beralah dan mengalah – dan sikapku amat tidak disenangi serta bertentangan dengan pendirian bapaku – dan kemudiannya kusedari pendirian dan sikap bapa ini menurun kepada semua adik-adik lelakiku yang berbeza pegangan siasah dengan YB Pamanku. Cuma aku anak lelaki sulung bapa yang sering beralah dan mengalah – seringnya ditempelak adik-adikku sebagai orang yang rabun seni siasah.

Tapi biarlah. Aku hanya ingin silaturrahmi kami tidak putus. Biarlah aku dilihat agak berlawan arus dengan seluruh ahli keluargaku.

Sebelum ke majlis keraian YB Pamanku, aku berpesan dan menasihat serba sedikit apa yang patut kepada ahli keluargaku – tentang perlunya menjaga susila dan duduk diri di majlis orang besar, walaupun orang besar itu ada hubungan darah denganku. Dan lebih-lebihnya pesan ini kutujukan khusus buat anak sulungku; yang pada perhitunganku bisa saja membuat kejutan yang mampu membuatkan aku rebah. Si sulungku ini walau usianya cuma delapan tahun, tapi sering kulihat dalam dirinya punyai petak-petak warna yang sering berubah. Ringkasnya, pemikiran dan tindakannya sukar terjangkau olehku. (pernah sering disindir oleh isteriku, anakku yang ini menurun sebelah siapa – kerana sikapnya amat bertentangan dengan diriku sebagai ayahnya).

Telah kupesan, di hadapan YB Pamanku nanti, sapalah ia dengan tertib; dengan panggilan YB Tok Pamanku – begitu kupesan padanya. Kerana itulah darjah yang layak untuknya. Anakku merengus tanda tidak senang. Aku hanya berdoa dalam diam – anakku, janganlah kau membuatkan ayahmu ini mati terkejut!

Dan igau ngeriku betul-betul terjadi di laman rumah YB Pamanku. Ketika tetamu ramai berpusu-pusu datang, ketika itulah si sulungku membuat kelaku. Ketika bersalam dengan YB Pamanku, dengan suara yang kuat dan lantang, anakku menjerit apa khabar Tok Pamanku? Seluruh tetamu memandang ke arah kami. Ya tuhan, anakku ini membuatkan aku malu dan ngeri. Dia degil dan tidak mendengar kata – bukankah sudah kupesan tadi jangan panggil Tok paman. Sebutlah YB Tok Paman. Kulihat air muka YB Pamanku sedikit berubah rona. Mungkin terkejut. Mungkin malu. Mungkin terkedu. Disapa begitu oleh cucu saudara dengan tidak tahu adab dan protokol di hadapan ramai khalayak.

Seleraku rentung dalam majlis yang tersaji makanan yang enak-enak. Putus. Suaraku tersangkak sepanjang berada di situ.

Sebelum mengensot pulang, YB Pamanku mendatangi kami. Sambil menggosok-gosokkan kepala anakku, dia menghulurkan sampul kecil, yang kukira berisi sedikit duit sebagai buah tangan kepada anakku. Tapi ya tuhan, anakku ini betul-betul membuatkan jantungku mahu tertanggal.

Tahu apa dibilang sewaktu YB Pamanku menghulur sampul itu?

Ini duit apa? Duit balakkah? Duit loterikah? Duit taukehkah? Rasuahkah? Saya tidak terima duit tercemar. Tok Ayah saya tidak mengajar saya untuk terima duit haram. Maaf Tok Paman, saya tak boleh terima. Begitu kata anakku.

Betul-betul berubah air wajah YB Pamanku. Bukan sekadar itu yang kukesani – turut berubah urna ialah tampangku sendiri. Ya tuhan, anakku ini benar-benar gila. Ya tuhan, anakku ini benar-benar menjadikan aku gila.

Besok pagi, isteriku mengunjukkan surat khabar harian kepadaku dengan wajah kelat. Pada halaman hadapan, ada wajah YB Pamanku. Tapi tajuknya membuatkan aku betul-betul mahu menangis. YB Pamanku akan memfailkan dua saman malu terhadap seorang kanak-kanak – dipercayai cucu saudara. Saman malu pertama kerana anak kecil itu tidak menyapanya dengan panggilan protokol dan sapaan hormat di khalayak ramai. Saman malu kedua kerana anak kecil itu memfitnahnya memberi duit yang tidak bersih.

Aduh. Ya tuhan.

Betul-betul aku menangis hari ini. Aku menangis betul-betul hari ini.

Entah kerana anakku.

Atau entah kerana pamanku.

Monday, October 12, 2009

Hebahan

Fakulti Penulisan ASWARA akan menganjurkan 'Wacana Sastera Bersama Editor’ mengikut butiran berikut:

Tarikh : 13 Oktober 2009 (selasa)
Masa : 10:30 pagi – 12:30 tengah hari
Tempat : Dewan Orkestra ASWARA

Dua orang Editor Sastera dari Utusan Publications & Distributors dan Editor Bahagian Majalah DBP akan diundang.

Majlis ini adalah program dalaman untuk anak-anak ASWARA dan juga mantan anak-anak ASWARA yang sudah tamat belajar (kemudian ada yang juga sambung semula belajar) tapi sampai sekarang tak reti-reti lagi nak menulis, apatah lagi sampai sekarang tak reti-reti lagi nak menghantar karya untuk penerbitan.

Kendati pun, anak-anak dari luar juga boleh hadir kalau berminat. Tak apa, ada ruang kosong. Budak-budak sini bukan semuanya berminat nak datang pun. Kalau konsert jom heboh depa minatlah. Masuk percuma, makan tengah hari disediakan.

Thursday, October 8, 2009

Aku, Anak-anakku, Kepala dan Sebuah Tivi

BERKALI-KALI sudah kutegur anak-anakku. Jangan terlampau kerap menonton tivi. Kurangkanlah sedikit menonton. Begitu tegurku. Teguranku kali ini bunyinya sedikit keras lantaran mutakhir ini kuperhatikan secara senyap perbuatan atau tindakan mereka ini terlalu melampau kini. Celik mata tivi. Makan di depan tivi. Tidur di depan tivi. Balik sekolah tivi. Cuti sekolah tivi. Hal ini terlalu merisaukan aku.

Sejak anak sulungku kecil lagi sudah ada tanda-tanda jelas dia gilakan tivi. Jika ada masa-masa tertentu aku menonton, kuperhatikan yang anakku ini terlebih memberi tumpuan terhadap apa yang aku tonton. Sekarang, sudah kukurangkan tanganku untuk menekan punat tivi sejak naik menyampah dengan segala siaran mana-mana saluran tivi. Dulu, aku gemar menonton siaran berita, namun sejak akhir-akhir ini minatku hilang lantaran aku sering saja tertipu. Berita sekarang penuh dengan cerita-cerita pembohongan oleh si pembohong, penipuan oleh si penipu, penindasan oleh si penindas dan segala kejahatan si penjahat. Minatku putus.

Malah, movie yang dulunya sering menjadikan aku lewat tidur sekarang terasa hambar sekali. Semuanya seperti bertukar menjadi selonggok sampah – hanyir, loya dan memualkan. Jalan terakhir, aku mengambil keputusan untuk tidak mempedulikan lagi peti keparat ini. Sesekali, telingaku terasa sumbing apabila mendengar isteriku turut mengajuk-ajuk nyanyian yang terasa buruk pada pendengaranku. Entah dari mana tivi mengutip segala bakat-bakat baru yang kononnya berkarisma besar – sebenarnya mereka terlebih bermimpi besar. Tidak mereka tahu mereka hanya menjadi gunjingan aku saban waktu.

Berbalik pada cerita anakku. Dahulunya, sesuai dengan usianya, dia hanya menonton rancangan kartun. Tidak aku kisahkan, itu sesuailah barangkali dengan keanak-anakannya. Kemudian, minat si anak sulung ini sudah mula mula mencambah dan menjalar pada dua lagi anakku. Dua orang anakku ini akan menuruti apa sahaja rancangan yang menjadi kesukaan abang sulung mereka.

Hinggalah suatu hari bulan lalu, kuperhatikan minat anakku-anakku sudah mula mencapah ke arah lain. Mereka kini menonton rancangan yang dulunya menjadi kegemaranku.

“Kenapa?” soalku pada suatu hari.

“Masa sudah berubah. Kami ingin segera dewasa.” Jawapan yang keluar daripada mulut anak sulungku sedikit memeranjatkan aku.

Kemudiannya, kerana kesibukan atau entah apa-apa, aku tidak mengambil kisah sangat dengan perihal hobi ketiga-tiga anakku. Hinggalah pagi tadi mereka menjadi hantu tivi yang benar-benar gila. Si abang memberontak tidak mahu ke sekolah. Si tengah menjerit tidak mahu ke taska. Si kecil meraung-raung tidak mahu dihantar ke pusat jagaan. Semuanya kerana tivi. Tivi. Tivi.

Haram jadah, tempikku kuat-kuat. Kerana radang, aku hempaskan tivi ke lantai. Kemudiannya, aku melangkah keluar ke pejabat tanpa memandang pun anak-anakku.

Pulang petangnya dari pejabat, kuperhatikan ada sesuatu yang aneh pada ketiga-tiga orang anakku. Di ruang tamu mereka duduk bersila sambil memandang ke hadapan, seperti sedang menonton tivi. Tetapi ada yang ganjil dan aneh. Kepala mereka telah terpulas ke belakang.

Isteriku meraung lalu jatuh terjelepuk.

“Kenapa jadi begini?” soalku dalam kalut dan tidak tentu arah.

“Ini semua abah punya pasal. Siapa yang suruh hempaskan tivi. Sekarang kepala kami terpulas, mengadap ke belakang kerana abahlah.” Si sulungku, bersuara seperti dalam keadaan tertekan.

Buru-buru, tanpa berfikir aku berlari menuju ke kedai tivi. Mujur rumahku tidak jauh dari sederetan kedai di pekan kecil ini – ada sebuah kedai tivi di situ. Cina kedai tersengih memandangku.
“Cepat taukeh, kasi tivi skrin rata, yang paling besar, yang paling lebar. Jenama paling baik,” buru-buru aku bercakap dalam suara yang termengah-mengah.

Kemudian, aku pulang dengan sebuah tivi baru, berskrin rata dengan saiz incinya yang paling besar dan lebar. Dengan cekatan dan gementar, perlahan-lahan aku memasang tivi, lalu menekan punat tivi.

Di belakangku, terdengar tiga bunyi kertupan yang menggerunkan. Perlahan-lahan, kutoleh ke belakang. Kepalang terkejutku bukan mainan. Kepala tiga anakku yang tadinya terpulas ke belakang kini sudah kembali bertukar kepada kedudukan normal seperti manusia lainnya. Tubuhku menjadi lembik tiba-tiba. Dan pandanganku gelap.

Ketika aku membuka mata, sayup-sayup terdengar suara isteriku, “syukur abang dah sedar. Abang pengsan tiga hari!”

Sunday, October 4, 2009

Anakku, Celana Kodroi dan Sebuah Cerita

Tengah hari tadi, anakku pulang dengan tangis yang mengongoi-ngongoi. Tidak aku pasti apa puncanya. Belum pernah anak lelaki sulungku berkelakuan sebegini aneh pada perkiraanku. Tangisnya berlanjut-lanjutan agak lama tidak henti-henti. Aku merapatinya, menggosok-gosok kepalanya sambil menanyakan apa yang sudah berlaku?

Dengan teresak-esak, anakku menjelaskan, “Abang terjatuh tadi.”

“Lho kalau setakat terjatuh takkanlah sampai sebegini sekali tangis kamu,” tukasku sambil terus menggosok-gosok debu yang melekat pada pakaiannya.

“Yah, Abang bukan sekadar terjatuh. Tapi telah melukakan celana Abang. Ini celana yang paling abang sayang,” balasnya sambil menunjukkan celana itu yang sudah terkoyak pada bahagian lutut. Aku amati celana kodroi biru gelap itu yang kubeli Ramadan tahun lalu di Kedai Anakku. Memang benarlah ada kesan koyakan yang agak besar.

“Emm nanti boleh minta Ibu jahitkan,” aku juga memujuknya.

“Tak sama lagi, Yah. Setelah terjatuh tadi, terus celana ini tidak mahu lagi bercakap dengan abang. Dia menjadi seperti si bisu.” Ayat ini membuatkan aku terperangah.

“Dulu sering saja dia mahu berbicara dengan Abang. Tapi kini tidak lagi. Yah, aku telah melukakan hatinya.” Ya Tuhan, anak ini benar-benar mengejutkan aku.

Kupegang celana kodroi biru gelap anakku dengan rasa sedikit aneh. Celana boleh bercakap? Mana mungkin! Kuamati lagi. Tiada apa istimewanya celana yang sudah setahun usianya ini, kecuali warnanya yang mula kelabu. Aneh, sejak bila pula anakku mula berperangai aneh seperti ini? Sedangkan sebelumnya aku tidak melihat pun sebarang perubahan yang berlaku pada dirinya. Gerangan apa yang merasuk dirinya, fikirku bertalu-talu.

“Yah, tolong usahakan agar celanaku kembali boleh bercakap. Tolong Yah!” rayu anakku semahunya. Bahunya masih berhinggut-hinggut menahan sedu. “Kalau tidak, tolong carikan celana baru untuk abang, mesti seperti celana ini. Celana yang boleh bercakap.” Sambung anakku lagi.

Semakin aneh anakku ini pada perkiraanku.

Tapi dia masih seperti anak kecil yang biasa sahaja di mataku.

Tiada apa-apa yang pelik dan jelik pada anak kecil sementah enam tahun ini.

“Abang tanggalkan celana ini. Biar Ayah tengok-tengokkan dulu,” kataku cuba memujuknya lagi. Sedang fikiranku sudah ke lain, sudah hanyut dan sudah terbang melayang.

Ya Tuhan, anakku dirasuk apa?

Ketika anakku berlalu, aku mengibas-ngibas celana yang sedikit berdebu itu. Kemudiannya, aku memekap celana tersebut ke telingaku.

(Sungguh, aku melakukan tindakan bodoh ini sesudah dia jauh daripada penglihatanku).

Tiada apa-apa yang aneh. Tidak ada denyut nafas. Apa lagi ada kata-kata daripada celana ini. Apa yang istimewanya kodroi ini pada kaca mata anakku sehingga dia sangat sayangkan celana ini, getus hati kecilku.

Lewat malam, ketika anakku sudah nyenyak di peraduan, kuunjukkan celananya yang terkoyak pada isteriku minta dijahit. Bersamanya juga kuceritakan pada isteriku siang tadi tentang keanehan dan keganjilan sifat dan sikap anak sulung kami. Tentang celana yang boleh bercakap. Tentang celana yang kononnya kini sudah bisu. Tentang celana baru. Tentang celana baru yang boleh bercakap. Tentang ... tentang semuanya.

Tahu apa terjadi? Isteriku menyebelahi anak sulung kami, sambil membidasku dengan kata-kata:

“Awak ini boleh membaca, dan malah boleh mentafsir Muhammad. Boleh menebak Latiff dan Baha. Boleh membaca Azizi. Boleh mengulit Ungku Lias. Boleh menguras Zakir dan Zaen. Boleh tersampuk dengan Rahimidin dan Marsli. Tapi sayang, gagal mentafsir fikiran anak sendiri. Gagal menebak apa kemahuan anak sendiri!” Begitu ucap isteriku, sambil tangannya menghulur ke arahku, minta celana diserahkan padanya.

Aku terhenyak. Apa kena mengena pula celana koyak ini dengan senarai nama penulis yang disebutkan isteriku? Mustahil perangai aneh anakku bersangkut paut dengan buku-buku sastera yang pernah aku baca. Walhal, anakku tidak pernah menyentuh buku-buku aku. Cakap isteri ini membuatkan aku tersandar tanpa kata.

Sekarang isteriku bersiap dengan benang di tangan – mahu menjahit bagian celana yang terkoyak itu.

Sungguh, keajaiban yang berlaku itu benar-benar menjadikan aku seperti si dungu. Saat jarum mula menjalar pada bagian celana yang koyak itu, saat itulah telingaku menangkap bunyi dengusan dan suara mengaduh dari celana kodroi anakku itu. Suaranya sempat kutangkap – sarat dengan rintih dan pedih; seperti jarum itu tusukannya terlalu ngilu.

Dan, aku betul-betul sudah menjadi si dungu, ketika melihat anak lelakiku ini bangun dengan terpisat-pisat sambil berjalan ke arah kami. Dengan wajah kantuknya, dia menanyaiku:

“Yah, sudah jahitkah celana? Tadi abang dengar celana itu mengaduh sakit!”