Thursday, February 24, 2011



(mau pilih sajak-sajak cinta; atau sajak-sajak bara?)

kawan-kawan yang tak ke Sabah, boleh kita jumpa di bucu malam tu?

Wednesday, February 16, 2011

Jalan Pintas



Selalunya, bila hendak pulang ke Pokok Sena di Kedah, sampai saja disusur keluar tol Pendang, saya akan menyisih ke bawah, menggunakan jalan biasa. Dari tol Pendang itu, saya akan melalui pekan Pendang, melewati pekan Tanah Merah, kemudiannya menggilap nostalgia di jalan Kg. Titi Haji Idris, Kg. Alor Pak Ngah, Kg. Tualang hinggalah saya sampai ke Kebun 500 di Pokok Sena. Itulah jalan pintas yang cepat untuk saya sampai ke Pokok Sena tanpa perlu melalui jalan yang menghala ke Alor Setar. Itu lebih jauh – dan membosankan tentunya. Saya suka melalui jalan-jalan kampung. Titi Haji Idris terutamanya. Di situlah saya habiskan sebahagian besar zaman kanak saya, bersekolah dan membesar di situ, sebelum kembali ke Kebun 500 bila menganjak remaja. Tak apa, itu cerita lama (akan saya ceritakan dalam entri-entri yang lain, tentunya).

Pokoknya, saya hendak cakap tentang jalan pintas. Jalan pintas untuk segera sampai ke destinasi. Semua orang kalau ditanya, tentu ada pilihan jalan pintas masing-masing, yang digunakan untuk sesuatu keperluan. Mengelakkan kesesakan atau menjimatkan masa, misalnya. Maka, jalan pintas akan menjadi pilihan.

(ii)

Tetapi dalam dunia akademik, maaf cakap tidak ada jalan pintas. Dalam dunia akademik untuk berjaya tidak ada pilihan jalan pintas. Semuanya mesti melalui denai dan selokan dunia akademik. Semua mesti diladeni dengan prinsip yang ada di dalamnya. Memanglah sekarang segala ijazah boleh dibeli asal berduit, tapi tentunya sudah menyalahi etika dunia akademik. Justeru, sebagai pelajar tidak ada jalan pintas untuk berjaya. Tak ada orang yang berjaya tanpa berjuang!

Begitulah juga nasib menjadi seorang penulis. Tidak ada jalan pintas. Tidak ada penulis yang terus menjadi penulis hanya dengan menulis sebuah karya sahaja. Tak ada penulis yang berjaya dengan melakukan hal-hal jenayah dalam dunia penulisan. Plagiarisme contohnya. Plagiarisme, menciplak, mencuri karya orang lain menjadi karya sendiri bukanlah lesen untuk menjadi penulis yang baik dan berjaya. Dengan menciplak menjadikan kita seorang penulis yang tidak ada etika. Semuanya melalui perjalanan panjang, dan tidak ada jalan pintas sebenarnya. Menjadi lebih sedih dan terkilan sekiranya kita penulis (atau, calon penulis) menciplak karya orang kemudiannya melabelkan sebagai karya kita sendiri, semata-mata mahu menyiapkan tugasan (jangka panjangnya, tentulah menjadi penulis). Sangat kesal berlebih-lebih lagi sekiranya hal tentang jenayah plagiarisme ini sering diulang-ulang dalam kuliah oleh setiap pensyarah kita. Percayalah, untuk jangka pendek dan panjang, anda tidak selamat dengan mencuri. Ingatlah bidalan klise, Kota Rome tidak dibina dalam sehari. Justeru, padamkan anganan anda tentang jalan pintas dalam dunia akademik dan dunia penulisan.

(iii)

Tidak mudah untuk berjaya tanpa sebarang rintangan. Apatah untuk menjadi seorang penulis (lebih-lebih lagi menjadi penulis sebenarnya tidak boleh diajar). Ia tidak sama seperti kita melewati jalan-jalan pintas untuk pulang ke kampung atau untuk sampai ke mana-mana destinasi tujuan. Untuk menjadi penulis, percayalah tidak ada jalan pintas.

(iv)

Anggaplah catatan entri ini adalah nota kuliah saya untuk minggu ini. Nota saya cukuplah sekadar ini. Maaf, dan sekianlah adanya.

Monday, February 14, 2011

Saya Bikin Serupa Cakap

Kepada semua pelajar yang saya sayangi; saya perturunkan ini sebagai peringatan keras, susulan daripada entri saya terdahulu, di bawah judul Dua Situasi, perkara kedua.

Peraturan Kecil Akademik Bab A & B Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan

Perkara 2.6.14 Kecurangan Akademik (halaman 42)

2.6.14.1 Pelajar yang melakukan salah laku atau kecurangan akademik boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut peruntukan Akta 653 Bahagian V Seksyen 17.

2.6.14.2 Pelajar yang melakukan salah laku atau kecurangan akademik adalah meliputi perkara-perkara berikut:

a. Menciplak/plagiat atau meniru frasa, idea atau maklumat tanpa kebenaran penulis/pencipta/pengubah/pelukis asal.
b. Memberi atau menerima atau memiliki sebarang maklumat yang berhubungkait dengan sesuatu kursus sebelum atau semasa peperiksaan dijalankan.
c. Mengambil, mengubah, menyembunyikan, merosak atau memusnahkan sebarang harta atau karya yang ada kaitan dengan persediaan atau penyempurnaan tugasan, penyelidikan, karya atau peperiksaan.
d. Sebarang bentuk penyelewengan atau penipuan akademik selain tersebut di atas.

2.6.14.3 Pelajar yang disabitkan dengan kecurangan akademik akan diputuskan oleh Jawatankuasa Kecurangan Akademik serta akan diberi gred F atau Gagal oleh Lembaga Pengarah Akademi.

Justeru, Jangan Main-main ya!

Thursday, February 10, 2011

Dua Situasi

1. Laporan MQA sudah sampai minggu lalu, setelah beberapa waktu menunggu. Terasa lelah lama belum hilang, beban baru kembali datang minta digalas. Banyak perkara yang perlu dijawab kepada mereka; banyak juga yang perlu diperbetulkan mengikut cadangan MQA untuk memantapkan Fakulti Penulisan, terutama hal-hal yang menyangkut dengan kurikulum. Paling lebih yang perlu diberikan perhatian kepada kami ialah tentang program ijazah sarjana muda kami, yang baru lepas pusingan tiga tahun baru-baru ini. Sebagai bidang baru di sini, rasa saya MQA sangat memberi penelitian dan tumpuan lebih kepada ijazah berbanding dengan diploma. Ijazah lebih terperinci, soalan dan pandangan mereka juga menunjukkan mereka sangat teliti. Insya-Allah, kami akan lebih bekerja keras untuk memenuhi tuntutan piawaian ini, untuk kemudahan jangka panjang untuk pelajar-pelajar kami.

2. Saya ingin bertanya kepada kawan-kawan, terutamanya yang berada dalam dunia akademik sudah tersangat lama, untuk meminta pandangan. Atas khilaf saya barangkali, dua hari lepas saya mengulang baca tugasan pelajar saya kembali – tugasan untuk semester lepas. Baru saya terkesan pelajar ini mencuri, menciplak bulat-bulat untuk kursus tugasan saya. Saya tak dapat kesan sebelum ini, mungkin tak tahu. Tapi tergerak hati untu menyemak semula. Dan, sahih, pelajar ini memang telah melakukan jenayah dalam penulisan, perkara yang paling saya titikberatkan bila masuk ke kelas. Malangnya, semester lepas telah berlalu, slip peperiksaan pun sudah terlepas. Pelajar ini sedang melalui semester baru sekarang. Kawan-kawan, boleh bantu apa tindakan yang boleh saya lakukan? Mungkin cara institusi lain menangani hal ini boleh saya kongsikan. Kalau ikut hati, saya mahu saja ke bahagian akademik, minta ditarik balik keputusan peperiksaan. Oh, saya belum bercakap dengan dekan saya...