Saturday, August 22, 2009

Kepada semua saudara, teman, sahabat, yang jauh dan yang dekat, serta kepada semua pengunjung blog ini, saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan yang jernih. Semoga Ramadan kali ini penuh barakah, dan menambah rasa cinta kita kepada-Nya.
Mohon maaf di atas perbuatan, tindakan, kata-kata dan tulisan saya yang tercela, sama ada disedari atau tidak.
Selamat berpuasa.

Thursday, August 20, 2009

Kad undangan yang Terpaksa dibakulsampahkan

Beberapa hari lalu, saya menerima satu kad undangan (tanpa setem) – bermaksud dihantar tangan. Kiriman dari sebuah jabatan yang kononnya masih ramai pemikir di dalamnya. Sampulnya putih, bertatahkan tulisan urusan seri paduka baginda; kemudiannya dihiaskan dengan cop undangan dari pejabat menteri.

Hanya sayang, kad itu terlewat tiba, sesudah programnya sudah selesai dianjurkan. Kesian. Bukan kesiankan saya. Saya kesiankan mereka. Punya kuat bekerja setahun lebih 400 program kena buat, di tengah semua yang terdiri dari pemikir, sayang mereka tidak belajar cara-cara yang betul untuk mengirim satu kad undangan. Sekeping kad undangan yang terbuang itu menggunakan duit saya sebagai seorang rakyat. Bayangkan kalau ada lagi kad undangan yang tercicir dan lewat tiba ke tangan orang lain, berapa banyak harta rakyat yang kita kebas dan buang begitu-begitu saja.

Kesian, kata masih ramai pemikir. Tapi nak hantar satu kad undangan yang jaraknya tak sampai 10 kilometer pun susah jadinya. Saudara pemikirkah; atau sayakah yang pembohong?

Saya rasa tiba-tiba bakul sampah di kamar kerja saya tidak cukup besar.

SMS yang “dimuliakan”

Dua malam lepas, saya ke Stor DBP untuk menonton. Undangannya saya cuma dapat melalui sms seorang teman baik. Malam itu teater arahannya akan turut dipentaskan. Catat smsnya, “kawan-kawan, datanglah ke Stor DBP malam ni, teater saya Bidan ke Tujuh.”

Maka, dalam ripuh berkejar-kejar pulang mengambil anak dari nursery, dan ditambah dengan hujan yang merusuh sekitar PJ dan KL, saya berdiri di luar Stor DBP 15 minit sebelum persembahan bermula. Stor penuh ketika masuk.

Masuk percuma. Bahkan si teman ini yang “membayar” atas smsnya yang dikirimkan kepada setiap orang saya kira. Tapi saya hadir atas rasa istimewa, yang mercup dan berkembang dalam jiwa saya. Jadi, sebetulnya saya hargai undangan si teman ini.

Saya belum delete lagi sms jemputan ini walaupun persembahannya sudah selesai.

Akademi Sastera

Semalam di DBP berlangsung acara saringan Akademi Sastera yang melibatkan pelajar-pelajar IPT. Ada tiga pelajar ASWARA turut terlibat. Atas gendala urusan lain yang agak penting, saya lewat tiba. Sayang, saya tak sempat melihat dua pelajar kami, Rodziah dan Fatiha membuat pembentangan. Saya sempat jenguk semasa mereka membuat latihan pembentangan olok-olok di Perpustakaan ASWARA tiga hari lalu. Sesi petang ada seorang lagi pelajar ASWARA, Asrul terlibat.

Rasa kagum melihat semua pelajar IPT yang terlibat – dari UKM, UPM, UM, ASWARA dan UPSI. Kalau saya pun, peribadi takkan mampu membuat seperti apa yang mereka buat. Dua dari ASWARA layak ke pusingan akhir Oktober nanti. Tahniah untuk Rodziah dan Fatiha. Berbaloi kerja keras mereka sebelum ini. Saya selalu melihat kegigihan mereka. Tahniah juga untuk mentor mereka Azman Ismail. Saya hadir hanya untuk memberi sokongan kepada mereka. Tahniah juga kepada pelajar dari IPT lain yang turut berjaya. Pembentangan kertas mereka meliputi kumpulan cerpen, novel dan naskhah drama. Hairan juga saya kerana tak ada seorang pun yang sentuh kumpulan puisi.

Hanya sayang, calon “favourite” Nazmi dan saya tersasar. Barangkali mentornya, “Ayah Leeh” boleh kekalkan pelajar ini untuk Akademi Sastera tahun hadapan; kerana tahun depan mungkin mentornya akan bertambah daripada satu menjadi tiga. Uhuk huk.

Tuesday, August 18, 2009

(Ahh, Tak Ada Apa-apalah)

Kepada Kawan

adakalanya terasa hadirmu
terlalu menyulitkan

kau seretkan kelambu masalah
lalu kau rebahkan gelisahmu

di atas kasurku
di kamar sepi

aku terpelanting ke tepi
tanpa sempat untukku

menyapu setetes darah
yang berguling di kasur

tidak pun kau sedar pedih
yang merayap dan menjalar ke urat nadiku

Monday, August 17, 2009

Anak emas

Sudah menjadi kelaziman sejak saya “dipaksa” mengajar, saya akan peruntukan sedikit dari duit gaji saya (mohon dijauhi untuk bersikap riak takbur) untuk memberi hadiah kepada pelajar saya yang saya kira cemerlang dalam kursus yang saya kendalikan. Tentang apa hadiahnya, itu belakang kira. Kebiasaan saya adalah memberi buku. Dan setiap tahun, buku-buku yang saya berikan kepada setiap pelajar adalah tidak sama.

Sehinggalah baru-baru ini saya memberikan hadiah yang berupa sebuah dua buku kepada pelajar saya untuk semester lepas. Saya dibisikkan oleh pelajar tersebut, agar didiamkan saja tentang hal ini. Takut kawan-kawan lain tersinggung, kecil hati dan entah apa-apa lagi. Dan ayat yang membuatkan saya tersentak, takut pelajar ini dianggap seperti anak emas saya. Saya gumamkan rasa berang saya ke dasar hati.

Kalau benarlah saya ada anak emas, lebih baik saya terus bagi hadiah. Tak perlulah saya buat pengumuman dalam kuliah, siapa pelajar cemerlang akan saya berikan hadiah. Kalaulah saya ada anak emas, saya tak akan beri hadiah yang berupa buku-buku yang murah. Lebih baik saya beri rantai emas atau gelang kaki. Atau bawa anak emas saya pergi melancong.

Sejak mengajar, sudah lama saya dengar tentang perkara ini, tapi saya diamkan saja. Sebabnya? Saya malas melayan anak-anak (tidak semua seperti ini) yang bodoh-bebal dan tak cukup akal. Kononnya, setiap pensyarah ada pelajar kegemaran dan anak emasnya sendiri. Betulkah?

Hal ini walaupun kadang-kadang tidak berbekas apa-apa di hati pun, tetapi kadang-kadang membuatkan saya berfikir sendiri. Apa betulkah saya melayan pelajar-pelajar yang saya beri hadiah itu seperti anak emas? Apa betulkah saya ada anak emas? Apa betulkah pensyarah lain juga ada anak emas? Apa betulkah? Apakah yang bersarang dalam minda pelajar-pelajar ini sekarang?

Saya renung semula. Apakah cara saya memberi hadiah ini yang menjadikan saya salah di mata mereka? Di mana silap saya yang tidak saya sedari?

Saya tahu banyak mata di kalangan mereka yang mencuri masuk membaca di laman saya ini dalam diam-diam tanpa saya sedari. Nak marah, marahlah. Nak menyampah, menyampahlah. Nak meluat, meluatlah. Seperti selalu, saya cuba bersikap biasa dengan slogana saya: saya peduli apa!

Wednesday, August 12, 2009

Bulan Kegembiraan Berganda

(i) Tokoh Akademik Negara 2008

Sasterawan Negara, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh minggu lalu diumumkan sebagai pemenang Anugerah Tokoh Akademik Negara 2008.

Dua hari lalu (waktu datang ke Seminar di ASWARA), beliau seperti selalu akan singgah di bilik saya barang sebentar. Selalunya, begitulah, singgah dan kami pun bercakap-cakap, daripada hal yang menyenangkan hingga kepada hal yang tidak menyenangkan. Sempat berucap tahniah kepadanya. Kata Muhammad kepada saya, ini semua untuk kita.

Ketika di pentas sewaktu sesi ucap utama, Muhammad menjelaskan lagi: anggaplah anugerah terbaru yang dianugerahkan kepadanya ini diterima olehnya bagi pihak semua orang sastera. Kerana katanya lagi, selepas ini kita tidak tahu lagi bilakah pula tokoh dari dunia sastera yang akan terpilih untuk menerima anugerah ini lagi.

Ini kali pertama tokoh daripada bidang Kesusasteraan (baca: Kesusasteraan Melayu) terpilih untuk menerima anugerah tertinggi dalam bidang pendidikan di Malaysia.
(ii) No. 10

11 Ogos, semua kita menarik nafas lega, dan penuh syukur bila Sasterawan Negara ke-10 diumumkan. Tahniah untuk Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Terasa berganda-ganda kegembiraan ini. Gembira saya bukan setakat saya berketuakan beliau kini, tapi lebih dari itu.

Terlalu amat lama kita menunggu. Dan penantian kita pun terlerai dengan pengumuman ini. Bukan mengejutkan kita pun dengan pemilihan beliau ini sebenarnya. Kita sememangnya telah bersedia pun untuk menobatkan beliau sebagai SN. Tak perlu lobi-melobi kalau betul-betul layak. Sejarah yang terbentang akan menjadi perakam zaman.

Semalam, ketika hari terakhir seminar, kami “mahsyurkan” berita gembira ini untuk seluruh warga dunia sastera/akademik di dalam dewan. Harap-harap ini akan turut menjadi perkongsian yang menggembirakan untuk warga ASWARA seluruhnya. Betapa Sasterawan Negara ke-10 kini berada bersama kita.

Dan penantian kita pun terlerai sejak sekian lama. Semoga Allah terus memberi kesihatan kepada Dato’, memberi rahmat dan kekuatan untuk beliau terus berkarya. Kita impikan akan ada 10 lagi Naratif Ogonshoto dari tangan beliau.

Friday, August 7, 2009

JADUAL
SEMINAR KEBANGSAAN PENDIDIKAN KESUSASTERAAN 2009
anjuran
FAKULTI PENULISAN
AKADEMI SENI BUDAYA DAN WARISAN KEBANGSAAN (ASWARA)
Dewan Orkestra ASWARA, 10 – 11 Ogos 2009


Isnin 10. 8. 09

8.30 pg - Pendaftaran

9.30 pg - Majlis Perasmian

10.00 pg - Kudapan

10.30 pg - Ucap Utama I:

Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh (SN/USM)
Tajuk: “Pendidikan Kesusasteraan Melayu di Malaysia”
Moderator: Dato’ Dr. Anwar Ridhwan

11.30 pagi - Sesi I: Pendidikan Kesusasteraan Tahap Pra-Sekolah

Panel:
(i) Dr. Normadiah Sheik Said / Dr. Zaitul Azma Zainon Hamzah (UPM)
Tajuk: “Kaedah Bercerita yang Mengasyikan Dalam kalangan Kanak-Kanak Pra-sekolah”

(ii) Hjh Zalila Shariff (DBP)
Tajuk: “PURNAMA dan Bahan Bacaan Sastera untuk Peringkat Pra-sekolah”

(iii) Zainiah Mohamed Isa (UPSI)
Tajuk: “Apresiasi Sastera dalam Pendidikan Peringkat Pra-sekolah”

Moderator: Susilawati Kamaruzzaman

1.00 th - Makan Tengah Hari

2.30 ptg - Sesi II: Pendidikan Kesusasteraan Tahap Sekolah Rendah

Panel:
(i) Prof. Madya Dr. Misran Rokimin (UKM)
Tajuk: “Kesusasteraan di Sekolah Rendah: Kepentingannya kepada Pembangunan Negara”

(ii) Dr. Amida Abdul Hamid
Tajuk: “Apresiasi Sastera dalam Pendidikan Peringkat Sekolah Rendah”

(iii) ) Faziah Sulaiman (IPGMKBM)
Tajuk: “Kaedah P&P Sastera dan Bahasa kepada Pelajar Sekolah Rendah melalui Drama”
Moderator: Azman Ismail

4.30 ptg - Minum Petang

5.00 ptg - Sesi III: Sidang Khas

Dato’ A. Samad Said (SN)
Tajuk: “Kesusasteraan dan Bahasa: Mengangkat Martabat Bangsa”
Moderator: A. Rahim Abdullah

Selasa 11. 8. 09

9.00 pg - Sesi IV: Pendidikan Kesusasteraan Tahap Sekolah Menengah

Panel:
(i) Azman Ismail (ASWARA)
Tajuk: “Apresiasi Sastera di Sekolah: Meninjau Pendekatan Berkesan”

(ii) Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin (UPM)
Tajuk: “Memperkasakan Pendidikan Kesusasteraan di Sekolah Menengah: Satu Pengutaraan”

(iii) Mohamad Saleeh Rahamad (UM)
Tajuk: “Mendepani Krisis Keyakinan dalam Pendidikan Sastera di Malaysia”

Moderator: Mohd Ridzuan Harun

10.30 pg - Kudapan

11.00 pg - Sesi V: Pendidikan Kesusasteraan Tahap Institusi Pengajian Tinggi
Panel:
(i) Prof. Rahman Shaari (UM)
Tajuk:“Kursus Penulisan Kreatif: Pengalaman Mengajar di Pusat Pengajian Tinggi”

(ii) Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Hassan (UM)
Tajuk:“Mematabatkan Pengajian Kesusasteraan Melayu di IPT: mampukah?”

(iii) Dr. A. Rahman Napiah (UTN)
Tajuk: “Pengajian Drama di Institusi Pengajian Tinggi”

Moderator: Mohd Ghazali Abdullah

1.00 th - Makan Tengah Hari

2.30 ptg Sesi VI: Forum

Panel:
(i) Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (UPSI)
(ii) Prof. Madya Dr. Krishanan Maniam (UM)
(iii) Prof. Dr. Teo Kok Seong (UKM)

Tajuk: "Pendidikan Kesusasteraan dan Keperkasaan Bahasa”
Moderator: Mohd Faizal Musa

4.00 ptg - Ucap Utama II:
Datuk Johan Jaaffar
Tajuk: “Pembudayaan Bahasa”

Moderator: Zakaria Ariffin

5.00 ptg - Majlis Penutupan Rasmi

5.30 ptg - Minum Petang

6.00 ptg - Bersurai

Saudara-saudara dijemput hadir. Percuma, percuma dan percuma. Kepada yang sudah mendaftar, terima kasih dan selamat berseminar. Kepada yang belum mendaftar, usah risau, datang saja pada hari Seminar. Jeritkan saja nama Benuasuluk, Insya-Allah, saudara akan diberi kerusi dan kertas kerja. Salam hormat.

Monday, August 3, 2009

Semakin Mendekat

SUAMI sahabat saya dan isteri, baru sahaja meninggal dunia menjelang tengah hari Jumaat lalu. Saya, dalam keadaan tersentak dan terkesima, akur dan pasrah berakhir sudah perjalanan seorang teman. Suami teman kami ini, meninggal di pejabat lantaran tiba-tiba sesak nafas. Kerana beliau meninggal di pejabat, maka jenazahnya berada agak lama di Unit Forensik HKL untuk bedah siasat.

Saya dan isteri tiba selepas Isyak, betul-betul ketika jenazah sedang disiapkan untuk dimandikan. Saya sudah beberapa kali diizinkan Allah untuk masuk ke bilik mayat; dan selalunya ia menumbuhkan satu perasaan yang tersangat halus. Betapa kerdilnya kita. Teman ini masih muda, 37 tahun usianya. Tapi kematian tidak pernah mengira usia. Anak sulungnya baru berusia tiga tahun. Isterinya pula sedang sarat mengandungkan anak mereka yang kedua. Hati tiba-tiba tersangat hiba bila melihat keadaan isterinya sekarang. Anak lelaki sulungnya pun tidak mengerti apa-apa. Bahkan ketika dibawa untuk mengucup jenazah, anak kecil ini enggan, lantaran percaya itu bukan ayahnya (walhal menurut cerita sahabat ini, anaknya amat rapat dengan arwah).

Dalam sedu-sedan dan tangis yang tertahan-tahan, isterinya sempat bercerita tentang sikap suaminya menjelang hari-hari akhir. Beliau diarah bertugas di luar kawasan untuk tempoh yang agak lama. Namun masuk seminggu, beliau balik, katanya terlalu ingatkan anak. Malam-malam akhir dia gelisah seperti mata tidak mahu lelap-lelap. Isteri saya, sesekali memeluknya sambil menggosok badannya memberi kata perangsang dengan mata yang berair.

Saya dan isteri menunggu sehingga semua proses selesai malam itu. Jenazahnya dibawa pulang ke Trengganu di kampung isterinya memandangkan suaminya orang Seremban sudah lama kehilangan ibu bapa. Van jenazah bergerak meninggalkan Unit Forensik HKL ketika jarum jam sudah hampir singgah ke angka satu pagi.

Dalam perjalanan pulang, saya teringatkan ketiga-tiga anak saya tiba-tiba. Terlalu sukar untuk menggambarkan rasa halus ini. Betapa terasa kematian itu semakin dekat dan selalu ada. Saya dan isteri, saling berbalas pandang dengan mulut yang terkunci. Tapi, kami tahu apa yang bersarang dalam diri kami ketika itu.

Takziah untuk Suzie, semoga sabar dan tabah dengan kehilangan yang menguji jiwa ini, ketika si kecil sedang bersedia untuk lahir ke dunia. Semoga Allah mencucurkan rahmat, memudahkan perjalanan akhir arwah, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang mukmin. Al-Fatihah.