Thursday, July 29, 2010

Berbengkel Lagi
Ke De Rimbun Inn, Parit 8 Baroh, Sungai Leman, Sekinchan untuk Bengkel Asas Penulisan Kreatif, 23-25 Julai 2010. Kali ini bersama pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Aziz, Sabak Bernam. Ini sekolah lama SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan. Lebih tiga perempat pesertanya adalah pelajar perempuan. Saya selalu berlapang dada dan mengosongkan fikiran setiap kali hadir ke bengkel. Saya ingin menjadi orang baru, dan juga bersedia menerima apa saja bentuk baru. Oleh sebab saya agak lelah minggu ini (dicampur sedikit malas), saya tidak mahu menulis panjang-panjang. Cukuplah beberapa gambar sekitar bengkel tersebut, dan gambar sekitar laut di Sungai Leman, Sekincahan yang berbicara bagi pihak saya.









Monday, July 26, 2010

Mentarang

Tak ada jual di Pokok Sena, yang penuh dengan sawah bendang dan pokok getah. Maka, berkebetulan sampai di pinggir laut di Sabak Bernam dan Sekinchan, maka saya mencari-cari juga mentarang. Banyak gerai kosong ditutup sepanjang tiga hari saya di sana. Di luar musim barangkali. Kata orang Sungai Leman sekarang, susah hendak dapat mentarang. Mujur, rezeki kami - saya, Zack dan Hj. Rahim, ketika berkereta hendak pulang ada dua tiga gerai yang tiba-tiba menjual mentarang. Pantas kereta diberhentikan dan kami singgah ke gerai. Kerana susah hendak didapati sekarang, ada gerai yang menjual dengan harga yang ... emm hebat juga orang Sekinchan berniaga. Mentang-mentanglah kami orang luar. tapi mujur ada satu gerai yang menjual harga yang biasa kami tahu, RM 7.00 sekilogram. Kalau dibiar penjual pilih sendiri, harga jadi RM 6.00 pula sekilogram. Maka, dibawalah pulang sedikit rezeki dari laut untuk anak-anak. Eiiii apa ni, Bah, tanya anak kecil saya.


Sunday, July 25, 2010

Rumah Burung

Di tengah-tengah bendang yang saujana
di tanah yang kering merkah
dan bekas jerami terbakar
agam berdiri rumah burung

Melihat alamiah hidupmu
yang selalu riuh dengan bahasa
yang tak pernah kufahami
sering aku bertanya
berapa lama hayatmu

Terlalu lama kutinggalkan kampung ingatan
tapi tak pernah kulupa
decit dan riuh layang-layang
ketika senja mencari sarang
tiada beza di Pokok Sena
atau di Sekinchan dan Sabak Bernam

Tak kutahu ribuan layang-layang
yang bermukim di rumah burung
tapi aku tahu ketika matahari jatuh
dan Maghrib menjauh
ratusan layang-layang hingar
pada pokok-pokok rendang
dan tiang lampu tepian jalan

Aku datang ke rumahmu
dengan akar dan rasa lama.

Harbour View, Sekinchan
24 Julai 2010

Tuesday, July 20, 2010

Entri untuk Teman-teman yang dihimpit Duka
Kadang-kadang, bila sudah di atas kita boleh hilang pertimbangan; juga kewarasan. Dan selalunya bila kita hilang pertimbangan dan kewarasan, kita selalu terlupa hendak melihat ke bawah - dan bila kita terlupa hendak menunduk melihat ke bawah, kita tidak akan mengerti bahawa di bawah ada hati yang boleh terluka. Seringkalinya bila kita sudah di atas, kita ingin bermegah dan menunjuk kuasa; seolah-olah kitalah helang merah yang agah dan hebat melayah di udara - penuh kesombongan dan besar diri. Hinggalah kita selalu terlupa - sering - bahawa di atas kita sebagai helang merah, ada lagi yang lebih atas dan tinggi daripada kita. Dia! Dia sering dan selalu di atas melebihi kita tingginya; Dia yang mengatur kehidupan dan punca rezeki kita. Maka, bila kita berasa bebas dan tinggi mengepak di atas seperti helang merah, percayalah ada nikmat yang sedang kita dustakan. Seperti kita, perjalanan helang merah jua tidak abadi, hanya Dia yang tersangat Maha...

Sunday, July 18, 2010

Kadang-kadang dalam Sesetengah Hal, Kita Sering Bertanya Mengapa Memilih untuk Sendiri?


Tuesday, July 13, 2010

Biar Betul, Pak Samad Kita Kata Wak Tak Ada Budaya?

Malu segala pokok, tiang lampu dan tunggul kayu. Selama ini mereka sangat percayakan kepada Wak yang seorang ini. Wak inilah yang selalunya menasihati mereka. Wak inilah yang selalu berdendang kata-kata manis dan muluk kepada mereka. Masih tiang lampu ingati satu waktu Wak berpesan kepadanya hendaklah kamu menjaga susila kamu. Susila itu cahaya hidup kamu. Tiang lampu angguk-angguk. Kemudiannya, sambil tersenyum Wak pun menggantungkan kain rentang di tiang lampu yang berbunyi, susila itu cahaya hidup kamu. Kepada pokok pun begitulah Wak berpesan. Susila itu teduhan hidup kamu. Pokok angguk-angguk tanda faham pada tamsilan Wak. Sebagai hadiahnya, Wak pun menggantungkan sepanduk di atas pokok yang berbunyi, susilalah teduhan hidup kamu. Bangganya pokok bukan kepalang, seperti dapat anugerah daripada Wak. Dipakainya kain rentang itu hingga pudar dan reput relai. Tunggul kayu apatah lagi gembira bila disapa Wak. Yelah, hidupnya pun segan mati je belum lagi. Kepadanya Wak menasihati susila lambang jati diri kamu. Tunggul kayu yang sudah nak reput itu tiba-tiba serasa kembali bersemangat untuk terus hidup. Sebagai tanda memberi harapan kepadanya, Wak pun menggantungkan bunting di leher tunggul kayu yang berbunyi, susila lambang jati dirimu. Dipakai bunting itu siang malam ditimpa hujan dan panas. Akhirnya tercabut dan diterbangkan entah ke mana pada suatu tengah malam bila ditimpa hujan ribut. Hilanglah cerita kain rentang, sepanduk dan bunting.

Sekonyong-konyong pokok, tiang lampu dan tunggul kayu dengar orang sokseh-sokseh. Kata orang Pak Samad, penenun kata-kata terbilang negara menyindir Wak sebagai orang yang tak ada susila. Marahlah sekalian tiang lampu, pokok dan tunggul kayu. Masakan Wak tak ada budaya? Bukankah Wak yang mengajar kami semua untuk menjaga susila? Betul-betul mereka tidak percaya. Tiba-tiba seorang budak dalam lingkungan usia tujuh tahun memberhentikan basikalnya di bawah pokok itu. Sambil berkencing di belakang pokok, budak itu berkata, kamu semua kena kencing tahu tak? Kemudiannya budak itu berlalu pergi sambil ketawa berdekah-dekah. Melopong dan menganga segala pokok, tiang lampu dan tunggul kayu mendengarnya.

Tiba-tiba seperti segala pokok, tiang lampu dan tunggul kayu seperti terimbas satu bidalan lama; pernah juga suatu waktu Wak dendang-dendangkan, seloka nyanyikan kepada tiang lampu, pokok dan tunggul kayu…

Kukuhnya jerut rumput,
Atas tanah dekat cemperai;
Tokohnya macam sipulut,
Bila ditanak ia berderai.

Thursday, July 8, 2010

Siapa yang Kau Nantikan?


Ketika aku sampai ke taman hatimu
engkau sedang menanti entah siapa

Detik aku jelajah seluruh tamanmu
mimpi dan sunyi bergemerincing

Akukah yang kau tunggu
atau rindu siapa yang kau mahu?

Langit dan laut tetap biru
alam hatimu, di rimbun manakah engkau beradu?

Kuraba-raba relung sunyimu
yang ada degup harap dan pengertian

Siapakah yang tetap kau nantikan
ketika aku bersiap-siap ingin pergi

Katakanlah, sebelum aku melangkah
sebelum hatimu kuseret pergi.

Sunday, July 4, 2010

Tentang Kita